Syafiq Ahmad Malaysia

Kedah Bayar Gaji Setimpal, Jika Syafiq Masih Mahu Pergi Kita Tidak Ada Halangan – Naib Presiden KFA

 

“Kedah sudah bayar gaji setimpal kepada pemain, kalau dia (Muhammad Syafiq Ahmad) nak pergi juga atas alasan ganjaran yang lebih tinggi, kita tak ada halangan”

Demikian kata Naib Presiden Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA), Datuk Badrol Hisham Hashim, terhadap desas-desus hasrat Syafiq yang juga penyerang muda skuad Helang Merah untuk berhijrah ke Johor Darul Ta’zim (JDT).

[AdSense-B]

“Kita faham, pemain cari pendapatan lebih tinggi, tetapi dalam masa sama beliau (Syafiq) perlu fikir mengenai negeri yang telah ‘melahirkan’ beliau…Kedah yang mengharumkan namanya.

“Beliau perlu ada semangat kenegerian dan jati diri…biarpun dibayar lebih tinggi, macam-macam boleh berlaku…mungkin boleh jadi beliau tidak menonjol jika berpindah ke sana,” katanya.

syafiq ahmad berjumpa tmj

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas meninjau kawasan tebing runtuh di Sungai Padang Terap di Kampung Kubu, dekat mukim Kurung Hitam, di sini, hari ini.

Khabar angin mengenai hasrat perpindahan Syafiq kuat bertiup selepas tersebarnya sekeping foto memaparkan penyerang skuad bawah 23 tahun (B-23) itu bersama pemilik skuad Harimau Selatan, Tunku Ismail Sultan Ibrahim, serta duta hubungan antarabangsa kelab JDT, Luciano Figueroa.

[AdSense-B]

Gambar itu dipaparkan menerusi laman rasmi Johor Southern Tigers dua hari lalu.

Malah, pemain kelahiran Pulau Pinang itu sendiri mengesahkan perkara itu dengan soal gaji antara yang menjadi pertimbangan beliau dalam memutuskan perpindahan berkenaan.

Badrol Hisham pada masa sama meminta Syafiq mempertimbangkan soal perpindahan itu sebaik mungkin, apatah lagi Kedah sendiri masih memerlukan khidmatnya selaku penyerang.

Beliau ketika ditanya mengakui pihaknya tidak pernah dimaklumkan mengenai hasrat penghijrahan itu walaupun di dalam mesyuarat tertinggi KFA sebelum ini.

“Jika Syafiq mahu berhijrah disebabkan gaji, saya rasa KFA sudah membayar gaji yang setimpal. Kita bukanlah di antara negeri yang membayar gaji pemain yang terendah.

[AdSense-B]

“KFA berbelanja mengikut kemampuan…jangan hanya teruja dengan janji bayaran lumayan dan sebagainya, terus mahu berpindah sedangkan skuad kita juga adalah antara pasukan yang menonjol dan disegani,” katanya.

Sumber: Berita harian

Baca juga: Perak Mahu Pulang Dengan Kemenangan Dari Larkin

Apa pandangan anda dengan artikel ini? Komen di bawah: