Patutlah Guru Di Sana Lebih Fokus Mengajar, Ibu Fatimah Kongsi Hubungan Guru-Ibu Bapa Di England
Sejak belakangan ini, trend menggunakan aplikasi grup mesej sekolah semakin mendapat sambutan ramai. Dengan adanya medium komunikasi dua hala, ia dikatakan boleh merapatkan perhubungan antara pihak sekolah, guru, ibu bapa dan pelajar. Namun, jika jam 3 pagi, masih ada ibu bapa yang menghubungi guru bertanyakan itu dan ini kepada guru kelas, adakah ia memudahkan tugas guru?
Adakah guru itu berasa selesa dengan situasi tersebut?
Ibu kepada kanak-kanak cilik yang petah loghat Kelantan, Fatimah Omar Mukhlis, 5, Nor Ashila Mahamed Ismail, 39, mahu berkongsi cara komunikasi antara pihak sekolah dengan ibu bapa di United Kingdom.
Perkongsian beliau bukan untuk membanding-bandingkan tidak langsung untuk merendahkan sistem pendidikan di Malaysia tetapi berniat untuk memberi manfaat kepada orang ramai terutamanya ibu bapa, guru, murid dan pelajar.
Kata beliau, di sekolah anak sulungnya, Mukhtar Omar Mukhlis, 13, yang kini bersekolah di King Edward School, dan sekolah rendah tempat Fatimah sedang belajar mempunyai dua situasi berbeza.
“Sekolah Mukhtar misalnya, setiap hari, ibu bapa dan guru menggunakan emel untuk berkomunikasi. Guru akan menjawab semua emel secepat mungkin untuk semua perkara penting. “Biasanya ibu bapa akan mendapat emel balas secepat mungkin, kecuali untuk perkara rumit dan memerlukan sedikit masa diselesaikan,” katanya.
Kata beliau, jika ada kemusykilan ibu bapa yang memerlukan masa untuk guru menjawabnya, ibu bapa akan diberitahu terlebih dahulu. “Selain emel, guru juga akan menggunakan surat-menyurat untuk diberikan kepada ibu bapa pelajar. Jika pelajar berkenaan tidak dapat menghadirkan diri ke sekolah, ibu bapa perlu menghubungi pejabat sekolah dan bukan sebaliknya.
“Saya dan ibu bapa lain tidak dibenarkan menghubungi nombor peribadi guru dan mereka juga tidak dibenarkan berkongsi nombor dengan ibu bapa,” katanya ketikan ditemu bual GPS Bestari.
Menurut Nor Ashila yang telah menetap hampir 20 tahun di Birmingham, England, mana-mana ibu bapa yang mahu mengadakan perbincangan dengan guru mengenai prestasi pembelajaran anak mereka atau permasalahan berkaitan pelajar, ibu bapa perlu membuat temujanji pada waktu pejabat dan perjumpaan itu diadakan di sekolah.
Tambahnya, pelajar di sini menggunakan internet sekolah dan emel untuk menyiapkan kerja rumah, membuat pengumuman dan sebagainya. “Pada saya, suasana pembelajaran di sini sangat menghormati masa guru kerana guru juga adalah manusia yang memerlukan ruang,” katanya.
Di England juga ada grup whatsapp tetapi untuk pelajar sahaja dan mereka mempunyai garis panduan yang sangat ketat di mana setiap grup tidak melebihi 30 pelajar. “Grup whatsapp ini dibuat untuk pelajar sahaja dan bukan guru. Ini sebab guru tidak dibenarkan untuk berkongsi butiran peribadi mereka dengan pelajar dan ibu bapa.
Kaedah komunikasi sekolah rendah
Nor Ashila berkata, kaedah komunikasi agak berbeza di sekolah rendah, ibu bapa dan guru menggunakan aplikasi sekolah mereka sendiri untuk berkomunikasi sama ada pemberitahuan jika murid berkenaan tidak dapat hadir ke sekolah, pengumuman, kemas kini kerja sekolah murid, untuk membayar makanan tengah hari dan pelbagai lagi.
“Selain itu, guru juga akan menghantar surat sebagai perhatian ibu bapa sama seperti kaedah yang digunakan di sekolah menengah. “Ibu bapa pula tidak dibenarkan menghubungi guru melalui nombor telefon peribadi mereka dan guru tidak dibenarkan berkongsi nombor dengan ibu bapa,” katanya.
Nor Ashila berpandangan, ini adalah cara yang lebih sesuai untuk berkomunikasi antara ibu bapa dan guru. Katanya, interaksi yang digunakan guru di Malaysia yang terpaksa mengor bankan privasi mereka dengan berkongsi nombor telefon peribadi untuk berkomunikasi dengan ibu bapa adalah sesuatu yang kurang wajar.
“Perkongsian nombor peribadi membuatkan ada ibu bapa yang bebas menghubungi guru setiap masa beberapa kali sehari. “Ada yang menghubungi guru untuk ‘check’ sama ada anak mereka sudah makan atau minum, ada yang menghubungi minta ‘inform’ anak yang mereka lambat ambik anak dari sekolah dan 1001 macam isu lagi,” katanya.
Malah katanya, berdasarkan kisah kawan guru di Malaysia, ada yang menghubungi mereka sampai ke malam bagaikan guru itu rakan mereka tanpa rasa segan dan hormat bertanyakan benda remeh dan tak kurang juga yang gunakan aplikasi whatsapp untuk mengadu atau marah.
Menurut beliau, guru juga manusia biasa yang ada kehidupan mereka sendiri dan perlu dihormati. Sepatutnya, ibu bapa perlu menghubungi pihak sekolah, bukan bertindak secara terus dengan guru jika mengalami apa-apa masalah. Tambahnya, sebagai ibu bapa seharusnya meletakkan harapan yang tinggi pada guru untuk mendidik anak-anak tetapi pada masa yang sama, tanpa segan silu mengganggu mereka semasa waktu bekerja, semasa berehat dan semasa bersama keluarga.
“Tak pernahkah kita terfikir yang perbuatan kita sendiri boleh mengganggu guru hingga boleh membuatkan prestasi mereka menurun dan boleh ‘lead to stress’.
“Malaysia sebuah negara yang maju, jadi saya rasa sudah masanya untuk kita wujudkan satu medium yang lebih profesional untuk berkomunikasi antara ibu bapa dan guru. Secara tidak langsung dapat mewujudkan rasa hormat pada guru dan membantu mereka bekerja dalam suasana lebih efektif dan produktif,” katanya.
Dah Baca, Jangan Lupa Komen Dan Share Ya. Terima Kasih!