Peluang JDT Membawa Piala Malaysia Ke Bumi Johor
Kemenangan lalu terhadap Selangor sedikit sebanyak memberi azimat kepada JDT dan kemenangan tersebut berjaya meletakkan Johor Darul Ta’zim selaku juara kumpulan D. Dengan ini JDT berjaya layak memasuki ke peringkat suku akhir dalam misi menggapai piala yang masih diburu untuk diletakkan di atas singgahsana yang sudah tersergam indah.
Umum mengetahui lawan yang menanti JDT di peringkat tersebut adalah Pasukan Melaka United. Sebuah pasukan yang sedang mengalami revolusi skala besar selepas persiapan di awal musim nampak haru biru dan celaru hingga menjadi buntu dan rasa resah pihak pengurusan kini semakin di tahap kritikal.
[AdSense-B]Di atas kertas sememangnya menunjukkan JDT mempunyai peluang besar untuk menang besar seperti yang pernah dilakarkan di Stadium Larkin pada April tahun ini sekaligus melangkah ke peringkat separuh akhir. Walau bagaimana pun, selemah mana sesebuah pasukan, andai kata mereka mempunyai semangat juang yang tinggi, ‘nothing is impossible’.
Selagi wisel penamat 180 minit belum ditiupkan, selagi masih ada kudrat di badan, selagi masih ada nafas untuk mengejar, selagi itu Melaka United mampu mencipta kejutan untuk menyingkirkan gergasi bolasepak Malaysia ini yang sedang menjarah setiap inci sejarah bolasepak Malaysia.
PELUANG JDT UNTUK MEMBAWA PULANG PIALA MALAYSIA KE LARKIN
Kali terakhir Piala Malaysia bertandang di Johor adalah pada tahun 1991. Waktu itu penulis baru berusia 4 tahun. Sudah hampir dua dekad kita hanya mampu melihat kegembirann pasukan lain menjulang piala bersejarah ini dan sesekali menelan balik air liur yang terkumpul.
Ya benar, kita sudah terlalu lama kempunan untuk memilikinya. Penulis tidak kisah anggapan ‘pahlawan kekunci’ yang mengatakan Piala Malaysia sebagai piala ‘Mickey Mouse’ sebab bagi kami setiap piala itu sangat penting dan bermakna untuk kelab dan juga penyokong. Kami tetap mahukan piala ini di kabinet kami.
[AdSense-B]Seingat kami, TMJ sendiri tidak merendahkan Piala ini dengan panggilan yang kurang enak dan setiap musim sasaran TMJ sentiasa sama iaitu mara ke suku akhir Piala Malaysia. Jika dilihat pada tahun lepas, JDT memberikan keutamaa kepada Piala AFC berbanding Piala Malaysia.
Bagi penulis, tahun ini adalah tahun terbaik untuk JDT memenangi piala tersebut. Ini kerana prestasi pasukan berada di tahap yang terbaik serta kejayaan merangkul kejuaraan Liga Super buat kali ke-4 berturut-turut menjadi tonik dan pembakar untuk kesemua pemain JDT.
COPOT AND CO. ANTARA KESEBELASAN TERBAIK JDT SEJAK 2013
Jangkaan penulis JDT layak untuk menjuarai Piala Malaysia adalah kerana JDT dapat menurunkan barisan terkuat dan memberi 100 peratus fokus kepada Piala Malaysia. Kita sudah pun tidak terlibat dengan Piala AFC dan baki perlawanan Liga Super hanyalah untuk pelengkap jadual.
Jadi bagi penulis tiada lagi alasan kepenatan memandangkan kita mempunyai tempoh rehat yang mencukupi melainkan disiplin para pemain sendiri yang gagal mendidik diri sendiri untuk bersiap siaga dalam perjuangan kali ini.
Baki perlawanan Liga Super selepas ini penulis berharap jurulatih Morais boleh menurunkan barisan pemain “second string” JDT. Ini secara tidak langsung juga boleh membentuk pasukan terhebat untuk menghadapi cabaran musim 2018.
[AdSense-B]Selain daripada itu, penulis melihat jadual perlawanan termasuk baki perlawanan Liga Super disusun dengan baik dan tidak terlalu padat. Ini perlu diambil kira sabagai salah satu faktor yang mendorong atau membolehkan pasukan JDT menjuarai Piala Malaysia buat julung-julung kalinya semanjak dijenamakan atas nama Johor Darul Ta’zim.
Rumusan yang dapat dibuat, prestasi yang baik dari pasukan utama, jadual perlawanan yang tidak terlalu padat dan mempunyai pemain yang hebat di semua posisi, maka tidak mustahil pada tahun 2017 ini kita selaku penyokong pasukan JDT berpeluang menyaksikan Piala Malaysia dibawa pulang ke selatan tanah air.
Suka penulis rangkakan satu puisi indah kepada pemain JDT.
Putera raja dari kayangan
Duduk beradu diatas pangkin
Semoga berjaya pasukan kesayangan
Bawakan Piala Malaysia ke bumi Larkin.
Selagi bah belum menjelma
Jangan pernah ungkap kata putus asa
Selagi keris dan tombak di dalam genggaman tangan
Tiada satu halangan boleh menyekat ngauman Selatan.
From JB with love
Baca juga: 2 Perlawanan Terakhir Melaka vs JDT Dalam Musim 2017