Ezrie Teruja Menanti Kunjungan Pasukan Lamanya JDT
Bekas pemain Johor Darul Ta’zim (JDT) Ezrie Shafizie Sazali, 30, teruja menanti kehadiran pasukan terbabit menjelang saingan suku akhir pertama Piala Malaysia di Stadium Hang Jebat, Paya Rumput, malam ini.
Baginya, perlawanan berkenaan menjadi kesempatan terbaik buat pemain tuan rumah mengintai peluang mara ke separuh akhir, walaupun lawan bukan calang-calang pasukan.
Dia yang pernah bersama JDT pada musim 2012 dan 2013 ketika dibimbing legenda Singapura, Fandi Ahmad, menanti penuh debar dan berazam untuk mencatat keputusan positif ketika berdepan bekas pasukannya itu.
[AdSense-B]Di atas kertas, katanya, Harimau Selatan bukan tandingan MU, namun perencanaan jurulatih Eduardo Almeida mampu menyuntik sesuatu untuk mengejutkan lawan.
Beliau berharap tragedi kekalahan 0-7 pada perlawanan Liga Super di Larkin tidak berulang, sebaliknya skuad Hang Tuah mencipta keajaiban pula kali ini.
“Sepanjang minggu ini, jurulatih merencana taktikal yang positif untuk berdepan saingan agresif JDT dan apa yang diharapkan ialah pemain yang diturunkan nanti mampu menjelmakannya.
“Misi kami juga adalah untuk memastikan MU akan kekal di pentas Liga Super dengan meraih mata maksimum ketika bertemu Perak, Selangor dan Kelantan selepas ini,” katanya.
Pemain tengah kental yang turut menyarung jersi PDRM pada musim 2014/2015 dan Felda United pada 2016 itu berkata, fokus bagaimanapun terarah kepada saingan berdepan JDT di depan penyokong sendiri, sebelum beralih kepada saingan liga.
[AdSense-B]Sambil mengakui tidak mengetahui rahsia sebenar pelawat berikutan sudah lama meninggalkan pasukan itu, dia berkata JDT sememangnya tiada rahsia istimewa kerana rata-rata pemainnya mantap dan mempunyai persefahaman jitu.
“Cuma apa yang perlu dilakukan pemain MU adalah tidak membenarkan lawan menguasai barisan tengah, menutup ruang dan kerap melakukan percubaan ke gawang lawan,” kata Ezrie Shafizie.
Sumber: Berita Harian
Baca juga: Peluang JDT Membawa Piala Malaysia Ke Bumi Johor