Pemandu wanita warga emas ada masalah kesihatan
Kuala Selangor: Pemandu warga emas yang terbabit dalam kemalangan hingga meragut nyawa seorang penghantar barangan di Kilometer 50 Jalan Klang-Teluk Intan, di sini, semalam, disahkan mempunyai masalah kesihatan.
Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Superintendan Ramli Kasa berkata, siasatan mendapati wanita berusia 67 tahun yang memandu Proton Saga itu menghidap penyakit darah tinggi dan kencing manis.
“Wanita itu juga mengalami masalah buah pinggang,” katanya ringkas ketika dihubungi, hari ini.
Semalam, media melaporkan hasrat seorang penghantar barangan untuk bersiar-siar di Pulau Indah, Klang tidak kesampaian apabila maut selepas merempuh sebuah kereta.
Dalam kejadian 9.50 pagi, mangsa berusia 26 tahun dikatakan tercampak atas bumbung Proton Saga dan meninggal dunia di tempat kejadian.
Pada masa sama, pemandu warga emas itu tidak memberhentikan kereta dan meneruskan perjalanan sejauh 400 meter.
Bagaimanapun, dia yang cedera ringan di pinggang itu sempat diberhentikan oleh saksi bebas di lokasi kejadian.
Sumber: Harian Metro