Penyelia kedai emas maut ditembak dalam rompakan di Seri Kembangan
Seorang lelaki yang merupakan penyelia kedai emas maut selepas ditembak dalam satu rompakan bersenjata di sebuah pasar raya di Seri Kembangan, dekat sini, malam tadi.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Selangor, Senior Asisten Komisioner Fadzil Ahmat berkata dalam kejadian jam 7.13 petang, kedai emas berkenaan dimasuki tiga lelaki bertopi keledar yang memakai ves pantul cahaya.
Ketika kejadian, mangsa yang berasal dari Perak itu berada di dalam kedai emas berkenaan bersama seorang lagi pekerja wanita berusia lewat 20-an.
Salah seorang suspek melepaskan satu das tembakan yang tepat mengenai dada lelaki berkenaan dipercayai kerana tidak berpuas hati apabila mangsa tidak mengendahkan arahan mereka.
“Tembakan ini akhirnya membawa maut ke atas penyelia tersebut dan suspek dalam kes ini seramai tiga orang tadi telah berjaya melarikan empat dulang emas yang mereka dapat daripada kejadian samun tadi.
“Ketika kejadian terdapat dua pekerja yang bertugas iaitu seorang perempuan Melayu dan juga mangsa yang ditembak tadi,” kata Fadzil.
Menurutnya, ketiga-tiga suspek mengambil masa dua ke tiga minit untuk melarikan empat dulang mengandungi barang kemas sebelum meloloskan diri.
Kesemua suspek melarikan diri dengan menggunakan dua motosikal yang ditinggalkan di luar pasar raya berkenaan yang dijaga oleh suspek keempat.
Pemeriksaan forensik menemui satu kelongsong peluru dan mangsa dipercayai mati ditembak dengan menggunakan sepucuk pistol jenis semi automatik.
Jelas Fadzil, anggota Unit Forensik masih melakukan siasatan bagi mengenal pasti jumlah kerugian. Kes disiasat di bawah Seksyen 395 Kanun Keseksaan dan Seksyen 302 kanun sama.