Penyokong Jdt

Penyokong JDT Pasrah Keputusan Morais

Tindakan Ulisses Morais melepaskan jawatan selaku ketua jurulatih Johor Darul Ta’zim (JDT) di atas faktor kesihatan keluarga dan tidak lagi membimbing pasukan itu mengharungi kempen Liga Malaysia (Liga M) dan Piala AFC nyata mengejutkan peminat bola sepak skuad Harimau Selatan.

Presiden Kelab Penyokong Bolasepak Johor Darul Ta’zim (KPBJDT), Azman Jalil mengakui terkejut apabila mengetahui perkara itu namun perlu menghormati keputusan yang dibuat oleh pengendali kelahiran Portugal itu.

[AdSense-B]

Katanya, sebagai penyokong JDT, beliau amat terkejut dengan berita berkenaan namun pasrah dengan keputusan yang dibuat oleh Morais tatkala mengutamakan keluarga yang memerlukannya di sisi.

“Itu keputusan yang dibuat oleh Morais dan kami sebagai penyokong harus menghormati dan kita tahu keluarga beliau memerlukannya di sisi. Jadi kita terima apa jua keputusan dengan hati terbuka.

morais pemain jdt

“Sepanjang beliau membimbing JDT, banyak perubahan dari aspek permainan dilakukan malah saya tidak nafikan sentuhan beliau membimbing JDT berjaya cetus impak positif dalam pasukan itu.

“Beliau sentiasa menghormati penyokong dan kami amat berbangga dengan pencapaiannya ketika membimbing JDT sehingga membawa kejayaan selepas merangkul Liga Super untuk empat musim berturut-turut dan muncul juara buat pertama kali Piala Malaysia,” katanya.

Morais yang menyertai JDT pada 19 Jun musim lalu menggantikan Benjamin Mora yang kembali ke Johor Darul Ta’zim II (JDT II).

[AdSense-B]

Namun ketika baru mengharungi empat aksi Liga Super, beliau mengambil keputusan untuk mengundur diri daripada membimbing skuad itu di atas faktor kesihatan keluarga.

Walaupun belum ada sebarang pengumuman mengenai Morais oleh pengurusan JDT, Azman berharap kualiti ketua jurulatih yang bakal dilantik mampu membawa skuad Harimau Selatan mengecapi kejayaan pada musim ini tatkala pemburuan utama untuk muncul juara Liga Super untuk musim kelima berturut-turut.

morais

Katanya, pemburuan kejuaraan liga amat penting memandangkan pada musim depan, juara liga secara merit akan beraksi dalam saingan kumpulan Liga Juara-Juara Asia (ACL) dan tidak perlu lagi mengharungi saingan kelayakan.

“Kami berharap sesiapa sahaja yang membimbing JDT mampu membawa kejayaan dan menepati falsafah bola sepak yang diterapkan oleh Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim sejak 2013.

[AdSense-B]

“Malah kami sebagai penyokong tegar percaya kemampuan Tunku Ismail mencari ketua jurulatih yang berkaliber bagi menggantikan Morais dalam usaha memastikan JDT berada di tahap yang terbaik,” kata Azman.

Sumber: Berita Harian

Baca juga: Morais Tinggalkan JDT Atas Faktor Kesihatan Keluarga

Apa pandangan anda dengan artikel ini? Komen di bawah: