Sasaran Safawi andai terpilih ke Jakarta-Palembang
KUALA LUMPUR: Penyerang muda pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT), Safawi Rasid memasang dua matlamat andai terpilih mewakili skuad negara pada Sukan Asia Jakarta-Palembang, bulan depan.
Dia bertekad membantu Harimau Malaya mencatat keputusan terbaik selain mahu menjadikan temasya sukan itu sebagai pentas `menjual’ bakatnya kepada kelab luar negara.
Safawi, 21, adalah antara 24 pelatih yang disenaraikan oleh Datuk Ong Kim Swee dalam skuad bawah 23 negara (B-23) sebagai persiapan ke sukan berprestij Asia itu.
Dia menganggap temasya sukan berkenaan adalah gelanggang terbaik untuk mencari peluang beraksi dengan kelab luar seperti diimpikan selama ini.
“Saya tidak akan mensia-siakan kesempatan ini jika terpilih beraksi ke Sukan Asia kelak kerana inilah kejohanan terbaik untuk saya membuktikan kemampuan kepada kelab luar terutama kelab dari negara-negara Asia.
“Saya yakin sudah pasti temasya sukan ini akan turut menjadi tumpuan pencari bakat daripada kelab-kelab seluruh Asia malah mungkin juga Eropah.
“Jadi, ia adalah pentas terbaik untuk pemain seperti saya yang berhajat mengembangkan bakat ke luar negara cuba mencuri tumpuan.
“Saya harap akan mampu memikat salah sebuah kelab luar tidak kira dari negara mana sekalipun. Memang menjadi impian saya untuk mencari pengalaman bermain di luar negara, kalau boleh saya berhajat beraksi di Liga Jepun atau Korea,” katanya.
Pada masa sama, Safawi yakin skuad negara mampu memberi cabaran lebih hebat pada Sukan Asia kali ini berbanding sebelumnya.
Ia bersandarkan prestasi skuad bimbingan Kim Swee itu pada Kejohanan Konfederasi Bolasepak Asia B-23, di China, Januari lalu yang membuat kejutan dengan melangkah ke suku akhir.
“Skuad B-23 ini sudah membuktikan kemampuan di China dan semakin serasi serta matang selepas lebih setahun bersama. Malah, kehadiran pemain senior, Aidil (Zafuan Abd Radzak), Rizal (Ghazali) dan Bad (Baddrol Baktiar) menambahkan kekuatan pasukan ini.
“Saya yakin, kita mampu memberi cabaran dan bukan lagi sekadar melengkapkan pasukan yang bertanding,” katanya.
Sumber: Berita Harian