Semut

Sultan Johor Namakan Spesies Semut

JOHOR BAHRU: Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, berkenan menamakan spesies semut Echinopla baharu yang ditemui Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) sebagai Echinopla Tunku-Abduljalilii.

Ketua Pusat Pemeliharaan dan Penggunaan Mapan Sumber-Sumber Semula Jadi (CoR-SUNR), Fakulti Sains Gunaan dan Teknologi UTHM, Prof Datin Dr Maryati Mohamed berkata spesies baharu daripada jenis kumpulan Echinopla itu dikutip daripada tumbuhan renek di tepi Sungai Bantang, Hutan Lipur Sungai Bantang dekat Labis, Mei tahun lalu.

[AdSense-B]

“Ada 15 spesies daripada jenis kumpulan Echinopla di Malaysia dan spesies baharu ini adalah spesies ke-16 dan kedua dari Johor yang mana spesies pertama iaitu Echinopla Wardi ditemui di Kota Tinggi.

“Spesies ini berukuran 5.48 milimeter panjang dan berwarna hitam. Kebanyakan spesies Echinopla yang lain badannya mempunyai bulu, tetapi spesies Echinopla baharu ini tidak mempunyai bulu,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Maryati berkata, bagi menghargai kejayaan pertama CoR-SUNR dan UTHM atas penemuan spesies baharu itu, Canselor UTHM iaitu Sultan Ibrahim telah dipohon limpah perkenan bagi menamakan spesies Echinopla berkenaan.

[AdSense-B]

“Atas perkenan penamaan spesies ini, International Code of Zoological Nomenclature (IZCN) iaitu badan antarabangsa yang menguruskan penamaan spesies baharu, akan mengeluarkan satu kenyataan pengesahan, sekali gus rasmilah nama Echinopla Tunku-Abduljalilii ini,” katanya.

Maryati berkata, nama spesies baharu itu akan kekal dan hanya hilang sekiranya mengalami kepupusan. Beliau berkata, sebelum ini ada penamaan spesies berkaitan keluarga diraja iaitu Rafflesia Tengku-Adlinii yang pernah ditemui di Sabah.

Sehingga kini, terdapat 16,000 spesies semut yang dinamakan secara saintifik dan kira-kira 33 spesies dalam kumpulan jenis Echinopla di Australia, Filipina, Papua New Guinea, Indonesia, India dan Malaysia. – BERNAMA

Sumber: Berita Harian

Apa pandangan anda dengan artikel ini? Komen di bawah: