Tip Ajar Anak Untuk Siapkan Kerja Sekolah. Ibu Ayah Perlu Tahu Ni
Umumnya, kalau kita cek beg sekolah anak-anak kita, mesti akan ada kerja rumah yang guru-guru berikan untuk disiapkan setiap hari.Menjadi kebiasaanya juga, setiap malam akan kita kita pastikan tugasan tersebut sudah siap.
Pun begitu andai anak tak faham, kita pasti akan ajar mengikut pemahaman kita. Apa yang penting siap!Pun begitu, apa kata kita sebagai ibu bapa dengar dahulu luahan rasa seorang guru tentang hal ibu bapa yang ‘membantu’ anak-anak dalam siapkan homework ini.Oleh itu, guru ini juga berkongsi tips apa seharusnya ibu ayah boleh buat dalam usaha ajar anak di rumah. Jom semak.
Tips mengajar anak di rumah
Umum tahu, silibus sekarang sangat tinggi. Ibu bapa pun kadangkala pening nak ajar anak di rumah. Nak memberi faham dengan aras fikiran kanak-kanak itu bahagian paling seksa.
Kita faham. Cuma bila kita terangkan anak masih tak faham. Kita dah rasa penerangan kita mudah dan senang, tapi anak masih terkebil-kebil tidak dapat hadam.
Mesti kau pernah rasa kan? Kami para guru lagi lah. Setiap hari hadapi masalah ini. Habis gaya dan cara cuba memberi faham kepada mereka. Namun, ada satu pantang besar semasa ajar anak-anak di rumah.
Jangan tolong jawab untuk dia. Jangan!
Ada ibu bapa ambil jalan mudah ajar anak mereka. Asalkan anak dia siap kerja rumah sahaja. Asalkan anak dia tak kena marah sebab kerja rumah tidak siap.
Maka acapkali juga aku semak buku latihan murid, mak tolong tulis jawapan. Cikgu boleh bezakan la tulisan kalian dengan tulisan kanak-kanak.Aduh. Jangan sampai macam ni sekali tuan puan. Sampai tolong tulis jawapan ini dah melampau.Yang nak belajar itu anak, bukan mak atau ayah.
Jika pun anak tidak mampu faham penerangan kita, cara paling akhir (setelah berpeluh-peluh ikhtiar bagi mereka faham tapi tak dapat juga) ialah memberi jawapan TETAPI anak yang tulis jawapan itu sendiri.
Ajar anak guna otak. Bukan asal siap.
Mungkin untuk topik itu, anak kita tidak mampu faham tunjuk ajar kita, tapi biarkan anak itu sendiri menulis jawapan walau pun jawapan itu kita yang beri.Sekurang-kurangnya, anak kita dapat kemahiran menulis walau tidak faham topik itu.Kemahiran menulis sangat penting. Lebih banyak mereka menulis, lebih lancar penulisan mereka, makin kurang kesilapan serta makin cermat kerja mereka.
Sama juga kalau soalan Bahasa Melayu atau soalan yang memerlukan huraian. Jika anak memang tak mampu nak jawab, baca jawapan dan suruh anak yang tulis. Bukan kita yang tolong tulis.Kat sini anak akan dapat kemahiran mendengar dan mengingat.
Boleh juga tulis jawapan kat kertas lain, dan minta anak salin semula dalam buku mereka. Kat sini anak akan dapat tajamkan lagi kemahiran membaca, menulis, mengingat dan menyalin nota.Kan banyak kemahiran lain yang anak kita dapat walau dia tak faham soalan itu.
Jangan juga ambil mudah soalan yang melibatkan mewarna, gunting gambar dan tampalkan. Jangan tolong gunting, warna dan tampal untuk mereka.Aku faham, kita risau anak kita luka kena gunting. Risau gam tumpah waktu mereka nak tampal. Nak suruh kerja anak nampak cantik, maka ibu bapa yang tolong warnakan.
Tapi itu kemahiran yang perlu mereka pelajari. Itu salah satu objektif dalam pembelajaran anak-anak. Kemahiran mewarna, menampal dan menggunting juga penting tuan puan.Lagi satu, elakkan suruh kakak atau abang dia yang sekolah rendah ajar adik mereka walau pun kakak dan abang dia itu murid yang pandai. Melainkan anak-anak kita itu memang pandai membimbing dan mengajar.
Kanak-kanak ni, mereka biasanya tidak pandai membimbing dan memberi tunjuk ajar. Mereka akan ajar adik mereka berdasarkan aras pemikiran mereka.Bila adik mereka tidak faham, mereka akan cepat rasa bosan. Jalan paling mudah, si kakak atau abang yang akan tolong adik tulis jawapan untuk adik.
Ini tidak bagus. Sudahlah anak tidak faham, tiada kemahiran menulis, membaca dan mengingat pula yang dapat mereka tajamkan.Kita sebagai ibu bapa biasanya lebih sabar dalam memberi tunjuk ajar. Jika tak faham cara ini, kita cuba ikhtiar cara lain. Cuba rendahkan aras dan cuba guna pelbagai bahan untuk bagi mereka faham.
Sangat berbeza tunjuk ajar dari kakak atau abang mereka berbanding tunjuk ajar dari ibu bapa.Kita mungkin penat bekerja seharian, namun luangkan masa sekejap untuk pembelajaran anak-anak kita.Jangan lepas tangan sepenuhnya kepada guru dan pihak sekolah. Di sekolah, guru tak dapat beri perhatian kepada anak kita seorang.
Dan tunjuk ajar secara satu sama satu adalah satu proses pembelajaran yang paling berkesan.Nak ajar anak, kena banyak bersabar dan jangan cepat rasa putus asa. Dan ingatlah, jangan lagi tulis jawapan untuk mereka.Sekian tips untuk hari ini. Semoga perkongsian ini memberi manfaat pada ibu bapa sekalian.
Sumber : Mohd Fadli Salleh