Tipu Wanita Dengan Jongkong Emas Palsu

Tipu wanita dengan jongkong emas palsu, lelaki dipenjara 12 bulan

Tawau: Akibat menipu dalam urusan jual beli jongkong emas, seorang penghantar barang dihukum penjara 12 bulan oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini.

Majistret Don Stiwin Malanjum menjatuhkan hukuman itu ke atas Herman Kamarudin, 30, selepas dia mengaku bersalah terhadap pertuduhan.

Herman dituduh menipu wanita berusia 33, supaya memasukkan wang berjumlah RM3,998 ke dalam akaun bank milik seorang lelaki, dengan wang dikatakan bertujuan untuk membeli jongkong emas palsu daripada tertuduh.

Tertuduh melakukan kesalahan di sebuah premis di Hilltop Tawau, pada 5.30 petang 20 September lalu dan didakwa mengikut Seksyen 417 Kanun Keseksaan.

Berdasarkan fakta kes, mangsa berjumpa tertuduh untuk urusan jual beli jongkong emas seberat 31.83 gram berharga RM8,920.56 dan bersetuju membelinya dengan pada harga tunai RM4,000.

Pemindahan wang berjumlah RM3998.00 secara dalam talian, namun mangsa mendapati ‘gold bar’ dibeli adalah palsu selepas membuat ujian ketulenan emas.

Ketika siasatan polis, tertuduh mengaku membeli jongkong emas palsu itu di platform e-dagang dan menjualnya, hingga menerima bayaran keseluruhan RM7,998 daripada mangsa.

Terdahulu pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Ibu Pejabat Polis Daerah Tawau, Asisten Superintendan Nur Intan Jamrin, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Sumber: Harian Metro

Apa pandangan anda dengan artikel ini? Komen di bawah: