Waktu Waktu Dilarang Mandi Di Dalam Islam

Waktu-waktu Dilarang Mandi di Dalam Islam?

Soalan:

3 WAKTU DILARANG MANDI. (Dalam Islam) 30 minit setelah solat Asar Setelah Maghrib Setelah Isya’ sehingga pukul 12 malam. Sahih ke ustaz? Tersebar luas dah…

Jawapan:

Dibenarkan mandi pada bila-bila waktu. Inilah pandangan yang lebih benar kerana tiada sebarang larangan dari Nabi SAW. Oleh itu, jika tiada larangan, maka hukum asalnya adalah harus. Tidak dinafikan, sememangnya terdapat sebahagian ulama yang menghukumkan makruh mandi hampir dengan waktu Maghrib, demikian juga antara Maghrib dengan Isya’.

Di dalam Mughniy alMuhtaj, kitab Fiqh mazhab alSyafie dinyatakan:

ويكره دخوله قبيل الغروب وبين العشاءين لأنه وقت انتشار الشياطين

Maksudnya: “Dan dimakruhkan memasukinya (bilik air) hampir Maghrib dan antara Maghrib dengan Isya’, kerana (waktu itu) berkeliarannya syaitan.”

Namun sebahagian ulama lain membantah pandangan ini kerana tiada larangan khusus dari baginda SAW. Di dalam Matolib Uli alNuha bersama dengan Matan alMuntaha dinyatakan:

(ولا يكره دخوله) حماما (قرب غروب و) لا (بعده)، لعدم النهي الخاص عنه، خلافاً لابن الجوزي.

Maksudnya: “Tidak dimakruhkan memasuki bilik air pada waktu hampir tenggelam matahari, tidak makruh juga selepasnya kerana ketiadaan larangan khas daripada baginda. Berbeza dengan Ibn alJauzi.”

Di dalam alAdab alSyar’iyyah oleh Ibn Muflih dinyatakan:

قال ابن الجوزي في منهاج القاصدين: ويكره دخول الحمام قريباً من الغروب وبين العشاءين فإنه وقت انتشار الشياطين. انتهى كلامه. وظاهر كلام غيره يدل على خلافه.

Maksudnya: “Berkata Ibn alJauzi di dalam Minhaj alQosidin: “dimakruhkan memasuki bilik air hampir tenggelam matahari dan antara Maghrib dengan Isya’. Kerana ia waktu berkeliarannya syaitan,” tamat perkataannya. Namun yang zahir dari perkataan selain beliau (dalam kalangan ulama), menunjukkan berbeza dengannya.”

Berdasarkan penjelasan ini, maka hukum asal ialah harus mandi pada bila-bila masa kerana ketiadaan tegahan dari Nabi SAW dan selagi tiada bukti perbuatan mandi pada waktu-waktu tertentu boleh mendatangkan mudharat dari sudut perubatan. Demikian juga jika tidak ada apa-apa keperluan, mengelakkan mandi pada waktu-waktu yang dinyatakan adalah lebih baik sebagai keluar dari perbezaan pandapat ulama.

Sumber: Waktu dilarang mandi

Apa pandangan anda dengan artikel ini? Komen di bawah: