Acidity 678×381

Inilah 10 Punca Gastrik Yang Anda Perlu Tahu Dan Cara Merawatnya

Di dalam perut, terdapat satu lapisan mukus semulajadi yang melindungi dinding perut daripada bahan kimia berasid semulajadi yang sangat diperlukan untuk proses penghadaman makanan di dalam perut.

Keradangan dinding perut berlaku apabila terdapat bahan asing yang menghakis lapisan mukus pelindung di permukaan perut. Penyakit Gastrik atau Gastritis merujuk kepada keradangan pada lapisan dinding perut.

10 punca penyakit gastrik anda patut tahu untuk mengelakkannya sebelum terjadi.

  1. Pesakit tidak menjaga waktu makan dengan betul atau skip meal: Apabila badan memerlukan makanan, signal akan dihantar ke otak dan otak akan menghatar signal ke bahagian perut untuk merembeskan asid gastrik. Jika tiada makanan di dalam perut maka asid gastrik tersebut akan menghakis permukaan dinding perut. Kejadian ini akan berulang-ulang, lama-kelamaan permukaan dinding perut akan menipis dan apabila sampai ke tahap itu pesakit akan mengalami sakit di bahagian ulu hati.
  2. Tekanan, Stres: Apabila stres berlaku, asid gastrik akan dirembeskan di dalam perut dan ianya boleh menyebabkan gastritis dalam jangka masa yang panjang.
  3. Pengambilan ubat-ubat penahan sakit seperti ponstan dan voltaren dalam jangkamasa yang panjang.
  4. Disebabkan oleh sejenis kuman iaitu Helicobacter Pylorii.
  5. Merokok.
  6. Makanan pedas: Makanan pedas adalah lambat dan sukar untuk dicerna dan oleh yang demikian perut akan merangsang lebih banyak rembesan asid perut untuk mencernakannya di dalam perut. Ini menjelaskan mengapa makanan seperti cili dan lada mampu meningkatkan kesan thermal makanan (lebih kalori diperlukan untuk mencernakannya, sekaligus meningkatkan metabolisma.
  7. Makanan masam: Makanan yang terlalu masam juga meningkatkan kesan asid terhadap dinding perut. Ini meningkatkan kebarangkalian untuk terjadinya gastrik.
  8. Makanan berminyak, berlemak (kecuali minyak zaitun):Makanan berlemak juga agak sukar untuk dihadam, justeru perut akan merangsang lebih banyak asid ke dalam perut untuk tujuan pencernaan.
  9. Pengambilan alkohol yang kerap dan berlebihan.
  10. Penyakit autoimun:Sistem immunisasi yang sepatutnya berperanan sebagai ketahanan badan terhadap penyakit telah menyerang sel-sel di permukaan dinding perut dan menyebabkan kurang penghasilan asid, enzim dan mukus oleh sel tersebut.

Simptom gastrik

Ramai pesakit gastrik tidak mengalami sebarang simptom. Namun, kewujudan penyakit gastrik akan tetap menyebabkan kerosakan dinding perut dan seterusnya menyebabkan kesan-kesan buruk yang lebih serius seperti pendarahan di dinding perut.

Selalunya, pesakit gastrik akan mengalami simptom seperti sakit perut, hilang selera makan, rasa loya dan muntah-muntah. Jika penyakit gastrik bertambah sehingga berlakunya ulser perut dan pendarahan di dinding perut, pesakit boleh mengalami masalah najis berdarah yang berwarna hitam atau muntah darah.

Simptom tersebut menandakan penyakit gastrik itu sudah menjadi tahap yang sangat serius dan pesakit tersebut harus dibawa ke klinik atau hospital secepat mungkin.

Rawatan moden

Sebelum rawatan gastrik dapat dimulakan, siasatan dan diagnosis harus dilakukan terlebih dahulu. Ujian darah lengkap dilakukan untuk mengetahui sama ada pesakit kehilangan darah yang banyak atau anaemik.

Najis turut diperiksa untuk mengesan jika mempunyai sebarang kesan darah. Dalam sesetengah kes, kamera kecil perlu dimasukkan ke perut (endoscopy) untuk diagnosis yang tepat.

Malah, ujian kultur bakteria di dinding perut dilakukan untuk mengesan kehadiran bakteria H. pylori yang boleh menyebabkan keradangan dinding perut. Rawatan moden gastrik memerlukan pesakit untuk mengelak daripada punca-punca sakit gastrik.

Sebagai contoh, jika penyakit gastrik berpunca daripada pengambilan ubat-ubatan tertentu, maka pesakit harus berhenti mengambil ubat tersebut. Kemudian, ubat anti-asid seperti Omeprazole dan Famotidine akan diberi kepada pesakit untuk bertindak terhadap kandungan asid yang berlebihan.

Jika didapati bahawa kuman H.pylori adalah punca utama gastrik, rawatan akan melibatkan pemberian ubat antibiotik untuk melawan jangkitan kuman tersebut.

Komplikasi

Komplikasi penyakit gastrik timbul daripada kemusnahan sel dinding perut berterusan. Tanpa perlindungan daripada mukus semulajadi di permukaan dinding perut, asid perut semulajadi dihasilkan oleh perut akan menyerang sel-sel dinding perut dan menyebabkan kemusnahan dinding perut tersebut.

Kemusnahan yang berterusan akan menyebabkan ulser perut dan pendarahan di dinding perut. Pendarahan yang tidak terkawal di dinding perut akan menyebabkan anaemia, pening kepala dan pengsan akibat daripada kekurangan darah.

Apa yang merisaukan ialah selalunya pesakit gastrik tidak sedar masalah pendarahan dalaman tersebut sehingga masalah tersebut sudah mencapai ke tahap sangat serius.

Maka, adalah sangat penting bagi pesakit untuk sentiasa berjaga-jaga dengan tanda awal pendarahan dalaman tersebut. Malah, terdapat bukti klinikal terbaru menunjukkan gastrik kronik boleh menyebabkan penyakit kanser perut.

Rawatan Al-quran

Daripada pengalaman, ramai pesakit gastrik yang berubat di Pusat Rawatan Islam Al-Hidayah mengalami perubahan positif ketara selepas mempraktikkan rawatan menggunakan ayat-ayat suci Al-Quran.

Amalan pembacaan al-Quran secara konsisten setiap hari memberi banyak manfaat dan ketenteraman hati kepada pesakit. Ramai pesakit Al-Hidayah berjaya membentuk banyak sifat terpuji seperti sabar, tekun dan sangka baik setelah membaca al-Quran setiap hari.

Rasulullah saw ada menyentuh tentang pembentukan sifat sabar dalam diri manusia. Rasulullah saw bersabda: “…barangsiapa yang berusaha untuk sabar, maka Allah akan menjadikannya seorang yang sabar…” (HR. Bukhari).

Setiap pesakit gastrik yang datang berubat, akan diperiksa terlebih dahulu jika ada sebarang gangguan makhluk halus.

Perawat Pusat Rawatan Islam Al-Hidayah akan mengeluarkan gangguan jika ada dan seterusnya memberikan ayat berikut untuk diamalkan seterusnya disertai dengan doa kepada Allah untuk memohon penyembuhan.

Ayat-ayat tersebut adalah:

  • Surah al-Buruuj ayat 1 hingga 22
  • Surah Ghafir ayat 41 hingga 55

Cara amalan ayat-ayat Al-Quran tersebut ialah, pesakit hendaklah membaca surah pertama iaitu surah Al-Buruuj tiga kali pada waktu malam dan surah kedua iaitu surah Ghafir tiga kali pada waktu siang.

Pembacaan hendaklah diamalkan setiap hari selama tiga hingga empat minggu. Selepas membaca tiga kali, pesakit perlu memohon doa kepada Allah untuk penyembuhan.

Pesakit harus ingat bahawa apa-apa penyembuhan hanya dengan izin Allah. Oleh itu, kita jangan berputus asa dan sentiasa berdoa kepada Allah.

Seperti di dalam surah al-Mukminun ayat 111, Allah swt berfirman; “”Sesungguhnya Aku membalas mereka pada hari ini disebabkan kesabaran mereka; sesungguhnya mereka itulah orang yang berjaya”.“

Kesimpulannya, jangan memandang remeh penyakit gastrik. Jika dibiarkan tanpa rawatan, dikhuatiri pesakit akan menghidapi gastrik kronik dengan simptom berbahaya.

Jika merasa anda mempunyai simptom gastrik saya nasihatkan agar tuan atau puan cepat berjumpa pegawai perubatan atau perawat Al-Hidayah untuk pemeriksaan lanjut. Jangan tunggu hingga gastrik menjadi kronik dan pendarahan dalaman berlaku.

Jika anda adalah pesakit gastrik, tidak kira sama ada tahap awal atau kronik, jangan berputus asa berikhtiar dan berdoa sepenuh hati untuk penyembuhan penyakit gastrik.

Sesungguhnya, setiap penyakit merupakan satu ujian Allah dan turunnya sesuatu penyakit atau musibah bukannya bermakna Allah kejam atau membenci kita.

Musibah merupakan ujian untuk hamba-hambaNya yang beriman. Jangan ingat bahawa kita sudah cukup beriman selagi kita belum diuji Allah dengan musibah atau ujian yang pasti mencabar iman dan kesabaran kita sebagai hambaNya yang hina.

Allah berfirman di dalam surah al-Furqan ayat 75 yang bermaksud; “Mereka itu akan dibalas dengan tempat yang tinggi di Syurga disebabkan kesabaran mereka, dan mereka pula akan menerima di dalam syurga itu ucapan selamat di dalamnya.”

Apa pandangan anda dengan artikel ini? Komen di bawah:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *