Stadium Baru Jdt 1

Ruang Korporat Stadium Baru JDT Habis Ditempah Dan Dijual

Walaupun Stadium Sultan Ibrahim Larkin masih dalam pembinaan, namun 10 bilik ruang korporat yang berharga RM500,000 semusim sudah habis ditempah dan dijual.

Berita tersebut diumumkan Presiden Kelab Bola Sepak Johor Darul Ta’zim (JDT), Tunku Aminah Sultan Ibrahim dalam entri yang dimuat naik Facebook rasmi pasukan, JOHOR Southern Tigers (JST) hari ini.

“Terima kasih saya ucapkan kepada yang sentiasa menyokong dan percaya kepada projek Kelab Bola Sepak JDT.

“Saya juga menyeru kepada Tunku Mahkota Johor (Tunku Ismail Sultan Ibrahim) cepat kembali kepada kelab JDT dan beri fokus 100 peratus kepada projek JDT.

“Sebagai seseorang yang bertanggungjawab atas kejayaan JDT di dalam dan di luar padang selama ini, baginda patut berada di sini supaya baginda boleh menikmati semua perkara yang telah kelab capai,” kata Tunku Aminah.

Pembinaan Stadium Sultan Ibrahim Larkin yang bakal menjadi ‘rumah’ baharu JDT sebelum ini terlewat enam bulan kerana perubahan lokasi.

Tunku Ismail yang juga pemilik JDT mengarahkan ia dipindah ke lokasi terbaik di Iskandar Puteri bagi memastikan cahaya matahari sampai ke rumput dan memboleh­kan ia tumbuh dengan sihat.

Beliau juga mahu beberapa perubahan dibuat dalam reka bentuk bagi menjadikan ia stadium terbaik di negara ini.

Tunku Mahkota Johor (TMJ) mengarahkan stadium itu, yang pada awalnya dijadual siap pada Januari, 2018 dilewatkan enam bulan kerana tidak mahu kontraktor terburu-buru menyiapkannya.

Ketika ini JDT beraksi di Stadium Tan Sri Hassan Yunos yang boleh memuatkan 20,000 penonton. Stadium Sultan Ibrahim memiliki 40,000 kapasiti.

Sumber: Utusan

Baca juga: Konfrontasi Desentralisasi Empayar Daksina


Apa pandangan anda dengan artikel ini? Komen di bawah: