Teknik Urutan Buang Angin Badan

2 Teknik Urutan Buang Angin Badan, Memang Lega, Boleh Buat Sendiri Di Rumah!

Badan masuk angin atau perut kembung memang menyesakkan badan orang yang mengalaminya. Pelbagai cara dilakukan untuk membuatkan tubuh badan kembali rasa lega termasuklah urutan perut kembung ini.

Kalau nak tahu, cara buang angin dalam badan ini mempunyai dua teknik urutan yang boleh anda cuba aplikasikan. Melalui portal Hello Doktor, urutan ini bukan saja dapat melegakan kembung perut, tetapi juga beberapa masalah ringan yang lain.

URUTAN PERUT KEMBUNG

Menurut Hello Doktor, teknik urutan ini sudah lama digunakan untuk melegakan beberapa jenis gangguan yang berkaitan dengan perut seperti isu penghadaman dan sembelit, selain kembung perut.

Urutan pada perut merupakan antara jenis teknik rawatan yang lembut dan tidak menyakitkan. Bahkan, ia memberikan kesan yang menenangkan dan menyembuhkan pada sesetengah individu.

Melakukan teknik urutan perut kembung yang betul membuatkan badan anda merasai kelainannya selepas 5 atau 10 minit melakukannya.

Cara buang angin dalam badan – teknik 1

Info menarik lagi, urutan pada kawasan perut membantu menggerakkan atau melancarkan pergerakan tinja dalam usus besar, selain membantu melegakan simptom-simptom kekejangan dan kembung perut. Jom, cuba teknik pertama urutan pertama seperti di bawah ini:

  • Baring kan badan seperti biasa.
  • Letakkan tangan secara bertindih di atas perut dan fokuskan kepada pernafasan.
  • Panaskan tangan dengan cara menggosoknya antara satu sama lain selama 30 saat.
  • Gunakan sebarang minyak urut yang anda suka. Boleh menggunakan minyak bayi atau minyak aromaterapi, jika tiada minyak urut yang khusus.
  • Letakkan minyak pada perut dan gosokkan dengan menggunakan tapak tangan beberapa kali. Lakukannya dengan mengikut arah pusingan jam.
  • Kemudian, urut bahagian tengah perut bermula pada bahagian atas pusat sehinggalah pada tulang kemaluan.
  • Lakukan kaedah yang sama pada bahagian sebelah kanan badan.
  • Setelah itu, tekan jari pada bahagian pusat secara perlahan-lahan.
  • Teruskan mengurut dengan gerakan membulat pada bahagian luar pusat dengan mengikut arah pusingan jam.
  • Lakukan urutan pada seluruh bahagian perut selama 20 minit. Jika ada kawasan perut yang anda rasa memerlukan lebih perhatian, luangkan lebih masa untuk mengurut pada kawasan tersebut.

Teknik 2 – cara buang angin dalam badan

Selain itu, anda juga boleh mencuba teknik urutan kedua untuk membuang angin dalam badan seperti di bawah:

  • Mulakan pada bahagian tengah perut.
  • Gosokkan tangan pada tengah perut dengan gerakan membulat atau memusar. Kemudian, secara perlahan-lahan gerakkan tangan sambil membuat gerakan tersebut ke arah perut sebelah kanan.
  • Lakukannya sehingga tangan tiba di kawasan tulang rusuk.
  • Selepas itu, lakukan cara yang sama dan gerakkannya ke bahagian perut sebelah kiri pula.
  • Setelah tapak tangan anda sampai ke bahagian tulang rusuk sebelah kiri, gerakkan tangan semula ke bahagian tengah atau pusat badan.
  • Lakukan setiap bahagian perut selama 2 hingga 3 minit.
  • Sewaktu tangan berada di tengah perut, teruskan menggosok dengan hujung jari dalam gerakan membulat.
  • Anda boleh menekan perut lebih dalam sedikit dengan jari dan lakukannya selama kira-kira 1 minit.
  • Secara perlahan-lahan, alihkan tangan dari tulang pinggul kanan ke rusuk kanan dan urutnya selama 1 minit. Kemudian teruskan urutan selama 1 minit pada bahagian tengah perut. Juga, 1 minit lagi pada bahagian tulang pelvis sebelah kiri dan membawa ke bahagian pusat perut.

Kesimpulan

Biarpun teknik urutan perut kembung ini selamat dilakukan, namun ada beberapa perkara yang perlu diberi perhatian sebelum melakukannya seperti:

  • Jangan melakukan urutan pada perut jika anda baru sahaja menjalani sebarang pembedahan pada perut
  • Sekiranya anda sedang hamil, berbincanglah dengan doktor terlebih dahulu sebelum melakukan sebarang urutan
  • Anda disarankan untuk tidak mengambil makanan yang berat atau pedas dalam tempoh beberapa jam sebelum dan selepas sesi urutan
  • Minum banyak air selepas anda selesai mengurut perut anda

Sumber: Hello Doktor

Apa pandangan anda dengan artikel ini? Komen di bawah: