8 Amalan Sunnah Menyambut Hari Raya Aidil Adha Di Rumah
AMALAN SUNNAH HARI RAYA AIDIL ADHA
Esok kita akan menyambut Hari Raya Aidil Adha pada tahun ini.
Umumnya mungkin ramai tahu betapa istimewanya hari ini bagi umat Islam dan pengertiannya serta kepentingan pelaksanannya, kerana disebutkan bahawa tidak ada ibadah yang paling disukai oleh Allah pada Hari Raya Aidil Adha selain ibadah korban.
Nabi Muhammad SAW telah bersabda:
“Tiada sesuatu amalan anak Adam di hari Nahar (Hari Raya Korban) yang lebih disukai Allah selain menyembelih haiwan korban.Sesungguhnya haiwan itu akan datang pada hari kiamat (sebagai saksi) dengan cukup segala tubuh anggota, cukup bulunya, tanduknya, dan kuku-kukunya. Dan sesungguhnya darah haiwan korban telah terletak pada suatu tempat di sisi Allah SWT. sebelum mengalir ke tanah. Kerana itu berbahagialah dirimu dengannya.”
(Hadis Riwayat Tirmizi, Ibnu Majah dan Hakim)
Walaupun kita tidak dapat berkumpul di masjid dan menghadiri upacara korban serta bergotong-royong seperti biasa, kita masih boleh menghidupkan Hari Raya Aidil Adha dengan amalan sunnah di rumah.
Berikut dikongsikan antara amalan sunnah yang boleh dilakukan ketika sambutan Hari Raya Aidiladha dalam tempoh PKP ini.
Kredit Foto : katamalaysia.my
8 CONTOH AMALAN SUNNAH HARI RAYA AIDIL ADHA DALAM TEMPOH PKP
1. Banyakkan Bertakbir, Bertahmid dan Bertasbih
Antara amalan sunnah yang sering ditekankan oleh Rasulullah S.A.W ketika tibanya Hari Raya Aidil Adha ialah memperbanyakkan lafaz takbir, tahmid, dan tahlil bermula dari malam 10 Zulhijjah hingga terbenam matahari pada 13 Zulhijjah (Takbir Muqayyad).
Ia bertepatan dengan hadis Nabi Muhammad SAW yang bermaksud :
“Hiasilah hari raya (Aildilfitri dan Aldiladha) kamu dengan takbir, tahlil, tahmid dan taqdis (mengingati dan mengagungkan Allah).” (Hadis riwayat al-Thabrani).
2. Mandi Sunat Aidil Adha Pada Waktu Pagi
Setiap kali Hari Raya menjelma, kita digalakkan untuk mandi sunat di pagi hari. Niat mandi sunat adalah seperti berikut :
Niat Mandi Sunat Hari Raya Aidiladha:
نَوَيْتُ الْغُسْلَ مِنْ يَوْمِ عِيدِ اْلاَضْحَى سُنَّةً لِلَّهِ تَعَالَى
Maksud : Sahaja aku berniat mandi sunat Aidiladha kerana Allah Ta’ala
Ibadah lain yang sunat dilakukan ketika Hari Raya Aidil Adha ialah :
3. Memakai Pakaian Terbaik
Tidak semestinya pakaian baru, tetapi kita digalakkan memakai pakaian yang terbaik yang kita ada dan bersih sebagai tanda meraikan hari kebesaran ini.
4. Berwangi-wangian
Membersihkan diri serta memakai wangi-wangian.
Buat wanita, cukup sekadar membersihkan badan serta menghilangkan bau-bauan.
5. Mendirikan Solat Sunat Aidil Adha
Mendirikan solat sunat Aidil Adha serta mendengar khutbah dengan penuh penghayatan.
Bagi yang berpeluang menunaikan solat sunat di masjid dalam tempoh PKP, anda digalakkan melalui jalan berbeza ketika pergi dan pulang dari solat sunat berjemaah di masjid.
Lebih afdhal jika berjalan kaki sekiranya masjid terletak tidak jauh dari rumah.
6. Menjamah Makanan Selepas Solat Hari Raya Haji
Menjamah makanan dan minuman sebaik solat sunat Aidil Adha dilaksanakan.
Berbeza dengan solat sunat Aidilfitri, di mana kita disunatkan menjamah makanan sebelum menunaikan solat sunat.
7. Bermaafan
Saling bermaaf-maafan dan memohon keampunan sesama ahli keluarga.
8. Bersedekah
Memperbanyakkan bersedekah kepada golongan yang memerlukan.
Dalam menyambut Hari Raya Aidil Adha di dalam kesederhanaan, ia bukan penghalang bagi kita untuk menghidupkan hari mulia ini dengan memperbanyakkan amalan sunnah.
Amalan sunnah sangat dianjurkan sebagai tanda kesyukuran kita kepada Allah.
Semoga dengan memperbanyakkan amalan pada Hari Raya Aidil Adha kali ini dapat mendekatkan kita dengan Allah di samping mengeratkan hubungan silaturrahim dengan seisi keluarga.
Sumber :
Amalan Sunat Aidil Adha oleh JAKIM
https://ms-my.facebook.com/MyJAKIMmalaysia/posts/amalan-sunat-pagi-aidil-adha/