Suarez

Bintang ternama ucap tahniah pada JDT

KUALA LUMPUR: Kejayaan pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT) merangkul kejuaraan liga buat kali kelima berturut-turut mendapat perhatian beberapa bintang bola sepak terkemuka dunia.

Antara bintang bola sepak yang mengucapkan ucapan tahniah kepada skuad Harimau Selatan itu adalah penggempur Barcelona, Luis Suarez dan juga bekas pemain pasukan itu, Pablo Aimar.

“Tahniah kepada JDT untuk kejuaraan liga buat kali kelima berturut-turut,” katanya menerusi video pendek berdurasi selama enam saat itu.

Video terbabit dimuat naik menerusi akaun rasmi pasukan itu, Johor Southern Tigers, hari ini.

Ucapan sama turut disampaikan oleh Aimar yang pernah menyarung jersi pasukan itu pada musim 2013.

Selain Suarez dan Aimar, dua bintang bola sepak lain turut tidak ketinggalan mengucapkan tahniah kepada pasukan bimbingan Raul Longhi itu.

Dua pemain terbabit adalah pertahanan Sepanyol yang beraksi buat Barcelona, Gerard Pique serta bekas pemain Argentina, Javier Saviola.

Klip video ringkas ucapan tahniah mereka turut dimuat naik di laman sama.

JDT mengesahkan kejuaraan kelima mereka selepas menundukkan Perak 2-1 di laman lawan pada aksi yang berlangsung 10 Julai lalu.

Kejayaan itu menyaksikan pasukan itu mencipta sejarah baharu apabila bakal beraksi di peringkat kumpulan Liga Juara Juara Asia (ACL) musim hadapan.

Sumber: Berita Harian

Apa pandangan anda dengan artikel ini? Komen di bawah: