Biasakan Anak Makan Ikan 2 Kali Seminggu Kalau Nak Bijak, Bukan Ayam Goreng..
Sebut sahaja ayam goreng, pasti anak-anak akan berebut dan berlari untuk menjamah makanan. Tapi, kalau sebut menu hari ini adalah ikan, nak suruh makan nasi pun susah! Maka, mak ayah pun terpaksa mengikut kehendak anak-anak yang asyik nak makan ayam goreng sahaja dan terlupa bahawa khasiatnya agak kurang.
Oleh itu, satu perkongsian dari pakar menyatakan bahawa kalau boleh biasakan anak-anak makan menu berlaukkan ikan dua kali seminggu untuk perkembangan otak. Biasakan dari awal sampailah lepas ini anak-anak akan ‘request’ lauk ikan sahaja!
BIASAKAN ANAK MAKAN IKAN 2 KALI SEMINGGU, BUKAN ASYIK AYAM GORENG JE…
Biasakan anak kita dengan ikan, berbanding ayam, daging, sotong, udang, dan lauk pauk yang lain. Pastikan sekurang-kurangnya 2 kali seminggu mesti kena ada menu ikan. Kalau lebih, lagi bagus.
60 peratus daripada otak manusia terdiri daripada lemak. Separuh daripada lemak itu adalah DHA. Anak kita akan bijak jika kandungan lemak dan DHA dalam otak mereka mencukupi. DHA bantu perkembangan fungsi otak anak-anak.
Ikan adalah sumber DHA yang terbaik dan mudah untuk kita dapat dan beri pada anak-anak. Buat singgang kosong, letak bebawang, halia, kunyit hidup dan lengkuas, sampai habis nasi pun anak saya minta nak makan lagi. Bagus sangat kalau anak dapat hirup kuah singgang yang tinggi dengan DHA dari ikan, dan juga ramuan anti inflamasi dari bebawang, halia, kunyit hidup dan lengkuas.
Tak perlu ikan kayangan, ikan sardin atau ikan kembung segar di pasar pun dah cukup banyak DHA yang ada. Sesuai sangat untuk anak-anak kita makan. Kita cuba ya, perbanyakkan menu ikan untuk anak-anak, berbanding ayam goreng.
“SUMBER ANTIBIOTIK TERBAIK”
Menjengah ke ruangan komen, ramai ibu bapa yang turut hadir meninggalkan komen. Ada yang menyatakan bahawa benar ikan dapat membantu perkembangan sihat anak mereka malah ada juga yang mengatakan bahawa anak-anak yang demam lebih mudah sembuh!
Sumber: Mazliana Mazlan