Syameer Kutty Vilaverdense

Gagal Bantu Vilaverdense, Syamer Tetap Positif

Pemain tengah Johor Darul Ta’zim (JDT), Syamer Kutty Abba menegaskan dia tidak patah semangat meskipun gagal membantu Vilaverdense melakar kemenangan pada penampilan sulungnya bersama kelab divisyen tiga Portugal itu.

Malah, bekas pemain tengah Pulau Pinang berkenaan mengakui kekalahan 1-0 kepada Oliveirense itu seharusnya dilihat dari sudut positif di mana ia lebih membakar semangatnya untuk terus mengintai peluang membarisi kesebelasan utama pada perlawanan seterusnya.

 [AdSense-B]

“Pengalaman membarisi kesebelasan utama pasukan ini begitu berharga, apatah lagi saya menunggu peluang ini selama hampir empat bulan. Bagaimanapun, tiada apa yang harus dikecewakan kerana banyak perkara positif yang boleh diambil daripada perlawanan itu.

“Saya mengharapkan ini bukanlah kali pertama dan kali terakhir saya akan beraksi bersama pasukan, jadi saya bertekad untuk membuktikan sesuatu jika sekali lagi diberi peluang khususnya untuk perlawanan di peringkat suku akhir selepas ini,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Vilaverdense dominic tan syameer kutty

Syamer dan seorang lagi pemain skuad Harimau Selatan, Dominic Tan diturunkan dalam kesebelasan utama pasukan Vilaverdense, namun nasib tidak menyebelahi mereka apabila pasukan itu tumbang di tangan Oliveirense.

Bagaimanapun, kekalahan itu tidak menjejaskan kedudukan pasukan itu sebagai naib juara Serie A dan pasukan itu bakal bersaing di peringkat suku akhir bagi merebut tiket ke saingan LigaPro (divisyen dua) musim hadapan.

Mengulas lanjut tempoh ‘perguruannya’ bersama pasukan itu selama hampir empat bulan, pemain berusia 21 tahun itu mengakui peningkatan daripada pelbagai segi dapat dirasakan dengan dia kini menjadi pemain yang lebih baik berbanding sebelum ini.

[AdSense-B]

“Mereka sangat mementingkan taktikal dan rentak permainan di sini juga agak tinggi. Saya merasakan ada peningkatan dari segi kesedaran mengenai taktikal dan juga kekuatan selepas berada di sini.

“Jurulatih juga tidak lokek untuk berkongsi ilmu dan dia banyak memberikan nasihat kepada kami sepanjang berada di sini. Saya selesa dan sudah menyesuaikan diri di sini walaupun merindui keluarga dan juga makanan Malaysia,” katanya.

Sumber: Berita Harian

Baca juga: JDT Menang Tetapi Tidak Layak Ke Peringkat Kalah Mati

Apa pandangan anda dengan artikel ini? Komen di bawah: