Jdt Vs Song Lam Nghe An

JDT Menang Tetapi Tidak Layak Ke Peringkat Kalah Mati

Johor Darul Ta’zim (JDT) menamatkan saingan Kumpulan H dengan kemenangan selepas menewaskan Song Lam Nghe An FC 3-2 pada aksi Piala AFC di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, sebentar tadi namun gagal mara ke separuh akhir Zon ASEAN.

Skuad kendalian Raul Longhi gagal mengiringi Persija Jakarta yang muncul juara Kumpulan H selepas menewaskan Tampines Rovers 4-2 pada aksi di Stadium Jalan Besar, Singapura.

Manakala Song Lam Nghe An FC yang berada di tangga kedua selepas mengumpul 10 mata kini merebut tempat kedua terbaik Zon ASEAN dengan Home United yang turut mengumpul mata yang sama dan akan bertemu Ceres Negros di Stadium Pana-ad, Manila malam esok.

[AdSense-B]

Pelawat mengundang cemas buat tuan rumah seawal minit pertama selepas bola tandukan Nguyen Viet Nguyen membuka ruang buat Ho Tuan Tai merembat bola dari luar kotak penalti namun sekadar melepasi palang gol.

Skuad Harimau Selatan yang tersentak dengan percubaan awal anak didik Nguyen Duc Thang mula menyusun strategi menggempur benteng kelab dari Vietnam itu pada minit keenam namun Ahmad Hazwan Bakri terlepas peluang untuk merembat bola tepat ke gawang gol.

Peluang terbaik untuk membuka tirai jaringan hadir pada minit ke-22 namun bola sepakan percuma kapten Safiq Rahim dari jarak 25 meter hanya sipi dari gawang gol ketika penjaga gol, Tran Van Tien sudah tertewas.

Ternyata ketajaman serangan skuad Harimau begitu mengecewakan tatkala pada minit ke-30 bola hantaran lintang Ahmad Hazwan gagal ditanduk kemas Safawi Rasid biarpun dia tiidak dikawal pertahanan lawan tetapi gagal menepati sasaran.

Selepas mengasak bertubi-tubi, akhirnya gol yang dinanti menjelma pada minit ke-36 apabila bola sepakan sudut Safiq menyaksikan Natxo Insa bertindak pantas mengumpan bola ke belakang dan Aidil Zafuan Abd Razak yang berada dalam posisi terbaik merembat bola leret menewaskan Van Tien.

Selang dua minit kemudian, gol kedua menjelma buat tuan rumah apabila bola sepakan lintang Corbin Ong tepat kepada Syafiq Ahmad yang tidak dikawal tatkala berada dalam kotak penalti menanduk bola tepat ke penjuru kanan gol pelawat,

[AdSense-B]

Bagaimanapun, kegembiraan tuan rumah disentap pada minit ke-40 selepas Song Lam Nghe An FC merapatkan jurang gol apabila bola rembatan Viet Nguyen mengelirukan penjaga gol, Izham Tarmizi Roslan untuk kedudukan 2-1.

Kelebihan jaringan yang dimiliki tuan rumah gagal dipertahankan, sebaliknya pelawat bangkit menyamakan kedudukan pada minit akhir babak pertama, bermula daripada sepakan sudut Ngo Xuan Toan yang ditanduk padu Tuan Tai.

Asakan bertali arus tuan rumah bagi mencari kemenangan berjaya dihasilkan pada minit ke-66 apabila pengadil dari Korea Selatan, Kim Hee Gon tidak teragak-agak menghadiahkan sepakan penalti selepas bola terkena tangan pertahanan pelawat.

Safiq yang ditugaskan untuk mengambil sepakan penalti merembat bola leret tepat ke penjuru kanan gol menewaskan Van Tien untuk meletak JDT mendahului jaringan 3-2 namun kemenangan itu masih belum mampu melayakkan skuad Harimau Selatan layak ke separuh akhir.

Sumber: Berita Harian

Baca juga: TMJ Cetus Resah Penyokong JDT

Apa pandangan anda dengan artikel ini? Komen di bawah: