Anak Suka Berkepit

Inilah 9 Cara Atasi Anak Suka Berkepit. Pantang Letak, Menangis

Tentu ramai ibu ada anak yang begini ragamnya, bukan? Bagi kebanyakan wanita yang juga ‘first-time-mother’, perkara ini tentu amat memenatkan sehingga ada yang mengalami kemurungan. Percayalah, hanya anda yang tahu bagaimana kelam-kabutnya keadaan sampai tiada masa untuk diri sendiri!

MENGAPA ANAK ENGGAN BERPISAH?

Mengikut istilah kesihatan, perkara ini dikenali sebagai ‘separation anxiety’. Ia boleh berlaku kepada bayi seawal 7 bulan, iaitu ketika bayi sudah mula mengenal kehadiran ibunya. Keadaan ini paling sering berlaku kepada bayi sekitar 10-18 bulan dan ada yang berlarutan sehingga ke peringkat kanak-kanak.

ANAK SUKA BERKEPIT

Anak sentiasa inginkan perhatian. Antara sebab utama berlakunya keengganan mereka untuk berpisah daripada ibu atau penjaga mereka ialah:

A) HUBUNGAN YANG ERAT

Hubungan emosional yang erat antara anda dan anak anda kadangkala boleh berpunca daripada masa yang diluangkan untuknya – sama ada terlalu banyak atau terlalu sedikit. Di dalam fikirannya, dia berasa perlu untuk berkepit dengan anda ada kerana selesa dan tidak mahu kehilangan anda.

B) BAYI TIDAK FAHAM KONSEP ‘MASA’ DAN ‘KEKAL’

Sesetengah anak kecil masih belum memahami konsep masa dan objek yang berkeadaan ‘kekal seperti dalam situasi berikut:

Konsep masa: Anda berlalu keluar dari tempat dia berada untuk mendapatkan telefon. Dia mula gelisah kerana menyangkakan bahawa anda telah keluar buat masa yang lama.

Konsep kekal: Semasa bermain, mereka menyangka mainan yang kita sorokkan dalam genggaman tadi sudah ‘hilang’.

C) ANAK YANG SENSITIF

Anak yang sebegini merasakan bahawa dia sudah merindui anda walaupun anda hanya pergi sebentar. Ini adalah reaksi daripada kefahamannya yang agak matang terhadap persekitaran.

BERAPA LAMAKAH KEADAAN INI AKAN BERTERUSAN?

Jangan risau, biasanya keadaan ini hanyalah bersifat sementara. Jika anda cepat mengenalpasti punca kegelisahannya, lebih cepatlah dia kurang berkepit dengan anda. Anda juga harus konsisten dalam mengajarnya menjadi lebih berdikari tanpa anda di sisi.

Walaubagaimanapun, setiap anak berbeza dan mungkin ada sesetengahnya mengambil lebih masa untuk menyesuaikan diri dengan perpisahan.

TIPS MENGHADAPI ANAK KECIL YANG SUKA BERKEPIT

1. JANGAN MEMAKSA

Dalam mengatasi masalah ini, jangan sesekali memaksa mereka. Ini kerana, dia mungkin akan berasa lebih takut dan gelisah kerana menyangka anda akan membuat sesuatu yang lebih ekstrim nanti!

Kata kunci yang paling penting ialah bersabar dan curi peluang untuk berehat sebanyak-banyaknya apabila bayi anda tidur. Tanpa rehat yang cukup, emosi menjadi tidak stabil dan anda akan cepat melenting.

2. MULAKAN LATIHAN DENGAN LANGKAH YANG PALING MUDAH

Semasa di dapur, cuba berteriak memanggil namanya atau menyanyi lagu kegemarannya. Walaupun kedengaran janggal, ia adalah langkah pertama untuknya belajar bahawa dia masih akan selamat walaupun anda tiada di sisi.

Anda juga boleh bermain ‘cak’ atau ‘peekaboo’ dengan menghilangkan diri ke bilik buat seketika. Melatihnya dengan bermain objek juga dapat membantu kefahamannya tentang konsep ‘kekal’. Cara ini dapat membantu bayi anda memahami bahawa sesuatu yang tidak nampak tidak semestinya ‘hilang’.

3. CUBA BIARKAN MEREKA BERSEORANGAN

Seronok bila tengok ‘baby’ kita ‘happy’

Sebelum cuba memperkenalkan bayi dengan orang lain, cuba biasakan mereka main berseorangan. Biarkan dia mengejar permainan yang bergerak, membelek jari kakinya, ‘bercakap’ sendiri, atau termenung memandang siling apabila bangun dari tidur.

Proses ini akan menggalakkan anak anda menjadi lebih yakin diri dan berdikari. Memang waktu-waktu comel ini akan membuatkan anda berasa cenderung untuk mencium atau mendukungnya! Maka bertahanlah, dan cuba mengintip dari jauh sahaja.

4. TINGGALKAN SEKETIKA DENGAN SUAMI ATAU PENJAGA

Foto Kredit: parentdish.ca

Jika bayi sudah mula faham ketiadaan anda, anda bolehlah meningkatkan ‘masa pemergian’ anda secara berperingkat. Dalam hal ini, anda perlu tabahkan hati jika mendengar tangisannya buat pertama kali semasa ditinggalkan bersama suami. Jangan terus datang, sebaliknya beri peluang kepada suami anda untuk menenangkannya.

Jika masih tidak berjaya, barulah anda kembali mendapatkannya dengan wajah ceria. Ini penting kerana dia akan mendapat isyarat positif bahawa tiada apa yang patut dirisaukan.

5. JANGAN AMBIL MASA TERLALU LAMA SEMASA MENGUCAPKAN ‘SELAMAT TINGGAL’!

Jika anda dalam proses untuk menghantarnya ke pengasuh atau pusat jagaan, waktu normal untuknya berasa selesa adalah sekitar 2 minggu. Oleh itu, ambil masa untuk relaks dan pastikan anda tidak terburu-buru.

Kami faham perasaan anda yang panik dan risau apabila pertama kali menyerahkan bayi dalam jagaan pengasuh atau taska. Tetapi, anda tidak boleh menunjukkan kesedihan atau kerisauan tersebut. Sebenarnya anak kecil anda dapat membaca gerak badan anda dan mentafsirkan isyarat ‘tidak selamat’.

Cuba lakukannya dengan ringkas dan cepat. Peluk dan cium mereka sambil berkata “Jumpa petang nanti, ya. Mama sayang kamu!” Cukup. Ucapan berjela hanya akan membuatnya berasa semakin gelisah!

6. JANGAN MENGELAT!

Jadikan rutin untuk memberitahu mereka setiap kali anda mempunyai urusan seperti mahu ke tandas atau mengambil sesuatu dari bilik.

Berdasarkan pengalaman peribadi, anak saya berkelakuan lebih tenang untuk ditinggalkan dengan penjaga apabila saya memberitahunya yang saya akan pergi ‘kerja’ esok. Jangan hilang secara senyap apabila dia sedang leka bermain, ya!

7. BACAKAN BUKU CERITA YANG SESUAI

Cara-cara lain termasuklah menunjukkan foto-foto, video, atau membacakan buku cerita yang sesuai dengan tema ‘separation anxiety’.

Antara buku cerita yang terdapat di pasaran ialah:

  • ‘Llama Llama Misses Mama’ oleh Ann Dewdney
  • ‘Mama Always Comes Home’ oleh Karma Wilson
  • ‘Owl Babies’ oleh Martin Waddell

8. GUNAKAN PENGGENDONG ATAU ‘STROLLER’ APABILA PERLU

Usah membazir beli stroller harga sampai beribu-ribu ringgit. Terdapat hari-hari tertentu yang serba tak kena di mana bayi anda langsung tak benarkan anda buat apa-apa selain duduk dengannya!

Ya, inilah masanya anda menggunakan ‘perisai’ ajaib! Kedua-dua benda ini bukan sahaja berguna di luar rumah, malah ramai juga ibu yang mengenakannya di dalam rumah.

Mungkin ada yang terfikir sama ada anda akan memanjakan bayi jika mereka mengikutkan sangat kemahuan mereka. Namun, bagi bayi yang baru berusia setahun dua, dakwaan ini tidak boleh diterima pakai.

9. SOLAT DI DEPAN ANAK KECIL

Foto Kredit: wikipedia.com

Bagi ibu Muslim, tidak perlu kekok untuk bersolat di depan anak kecil walaupun mungkin anda akan terganggu dengan tangisannya. Jangan sekali-kali merasakan solat itu menyusahkan walaupun mempunyai bayi yang asyik mahu berkepit.

Sebaliknya, bersolat sedikit sebanyak membantu kita dan anak kecil mendisiplinkan diri. Selain itu, ia juga merupakan contoh terbaik untuk mengajar anak solat sejak kecil.

Jika anak kecil merangkak di hadapan anda, anda boleh merangkulnya dan meletakkannya di tepi. Panduan bersolat sambil mendukung bayi boleh dirujuk di laman web JAKIM.

SETIAP ANAK UNIK

Walaupun anda merasakan fasa berkepit ini tidak akan berakhir, percayalah ia akan menjadi lebih semakin mudah. Yang penting, beri ruang pada diri anda dan si kecil untuk saling memahami supaya anda berdua boleh bertolak ansur. Setiap anak mempunyai ciri yang unik dan pasti anda akan merindui saat-saat bersamanya apabila dia besar nanti!

Apa pandangan anda dengan artikel ini? Komen di bawah: