Cara Kenal Pasti Ketulenan Emas

Cara kenal pasti ketulenan emas

Kuala Lumpur: Jualan emas ‘laku keras’ kebelakangan ini ekoran kejatuhan harga logam berharga tersebut sehingga ada yang sanggup merentas daerah ke kawasan tertentu yang dikatakan menawarkan harga yang lebih menarik.

Suasana sesak dan beratur panjang di premis menjual emas yang diserbu pembeli seolah-olah sekadar ingin membeli makanan yang sedang viral bukan lagi permandangan luar biasa.

Laman sosial juga ‘meriah’ dengan pelbagai tawaran jualan emas secara dalam talian, baik dalam bentuk barang kemas mahupun jongkong dengan harga yang membuatkan ramai rambang mata.

Hakikatnya ini soal jual beli emas, bukan makanan segera. Sejauh mana anda yakin emas yang dibeli itu tulen seperti yang dinyatakan?

Menurut pakar produk emas Habib Jewel, Aishah Che Man, 39, antara cara mengenal pasti sendiri mutu emas dengan mudah ialah dengan menyemak cop atau tanda yang terletak pada bahagian dalam cincin sama ada tertera jenis mutu seperti 750, 916 atau 999.

“Bagi rantai atau gelang tangan, selalunya ada cop tersebut pada bahagian cangkuknya.

“Untuk mereka yang ada emas lama, kemungkinan tiada cop dan anda boleh bawa emas tersebut ke kedai emas untuk buat ujian asid,” katanya ketika ditemui Bernama.

Menurut Aishah, ujian asid nitrik dan asid hidroklorik pula digunakan bagi menentukan ketulenan emas dari segi warna kerana emas tulen tidak terjejas atau tidak bertindak balas dengan kedua-dua asid tersebut.

“Emas 916 warna kuning tapi betulkah emas itu 916? Bila kita periksa ia sebenarnya 750 yang berwarna kuning. Jadi cara tentukannya adalah goreskan emas itu pada batu asah sehingga keluar warna dan titikkan sedikit kedua-dua asid itu satu per satu.

“Jika ia emas jenis 916, warna pada permukaan itu akan kekal warna kuning, tapi jika kita letakkan asid itu pada permukaan emas seperti 750, ia akan bertukar kehijauan,” jelasnya yang mempunyai sembilan tahun pengalaman dalam produk barangan emas.

Beliau turut berkongsi panduan membeli jongkong emas di pasaran iaitu dengan memastikan nombor sijil pada emas itu sama dengan sijil yang dilampirkan.

Pembeli juga dinasihatkan untuk membuat ujian ketumpatan (density) bagi mengetahui sama ada berat jongkong itu sama seperti dinyatakan atau sebaliknya.

“Sekarang ini ada orang beli emas 1gram (g), 5g, 20g dan mereka masih was was (sama ada) cukup (berat) atau tidak. Jadi ujian density yang paling mudah.

“Untuk kenal pasti gold bar (jongkong emas) dengan tepat, biasanya akan dihantar kepada ar-Rahnu untuk dilakukan ujian density kerana mereka ada alatannya,” tambahnya.

Bagi Pengarah Angsa Emas Jewellery, Normadora Mohd Nor, cara yang paling tepat untuk menentukan ketulenan barangan emas adalah dengan menggunakan khidmat ‘assayer’, iaitu pihak yang mempunyai kepakaran dan sijil bertauliah untuk sahkan ketulenan emas.

“Fire assay adalah proses digunakan secara profesional untuk menentukan mutu emas menggunakan alat dan peralatan tertentu. Ia dilakukan oleh individu yang mempunyai kepakaran dan diperakui oleh industri,” katanya.

Selepas menjalankan ujikaji terhadap logam berkenaan dan berpuas hati dengan ketulenannya, assayer akan menandatangani sijil pengesahan ketulenan emas berkenaan.

Selain itu, kaedah ujian magnet juga boleh digunakan untuk memastikan keaslian emas, namun Normadora berkata pembeli sebaiknya tidak bergantung sepenuhnya kepada cara tersebut.

“(Kaedah) magnet tak boleh digunakan sepenuhnya kerana sekarang sesetengah reka bentuk emas memerlukan sokongan spring pada rekaan terutamanya gelang.

“Jadi pelanggan sendiri perlu memahami konsep antara membeli emas dan membeli barang perhiasan,” jelasnya.

Sungguhpun terdapat banyak kaedah untuk memastikan ketulenan emas – daripada kaedah visual, ujian asid, ujian ketumpatan hingga khidmat pakar – ujian yang paling penting bagi pembeli adalah menahan diri agar tidak gopoh dan dan tergesa-gesa ketika membeli sehingga terpedaya dengan kilauan emas palsu.

Apa pandangan anda dengan artikel ini? Komen di bawah: