Harga Emas Tidak Menentu

Harga emas diunjur kekal tidak menentu

KUALA LUMPUR: Harga emas dijangka kekal dalam aliran tidak menentu pada separuh kedua tahun ini dengan diunjurkan melebihi paras AS$1,800 seaun hujung tahun ini berikutan ketidaktentuan yang dicetuskan kenaikan kadar faedah Amerika Syarikat (AS), kata peserta industri.

Pengarah Urusan Kumpulan Tomei Consolidated Bhd, Datuk Ng Yih Pyng, berkata pasaran sedang berdepan pelbagai isu secara serentak yang tidak pernah dialami sebelum ini seperti kenaikan inflasi, kenaikan kadar faedah AS yang menyokong dolar AS, kekurangan bekalan global, pandemik dan konflik geopolitik.

Justeru, beliau berkata, keadaan sedemikian mendorong harga emas diniagakan dalam turun naik tidak menentu ketika ini.

“Sangat sukar untuk jangka (harga emas), tetapi secara umumnya, persepsi dalam persekitaran tidak menentu, adalah baik untuk mempunyai pegangan dalam emas. Harga emas dijangka melebihi AS$1,800 seaun menjelang akhir tahun ini,” katanya kepada BH.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas pelancaran syiling emas peringatan edisi terhad oleh Tomei sempena sambutan ulang tahun ke-50 WWF-Malaysia di sini, hari ini.

Harga simpan emas telah berdepan tekanan jualan berikutan jangkaan kenaikan kadar faedah bagi mengekang kenaikan inflasi dengan harga emas semasa susut 0.5 peratus pada AS$1,725 seaun.

Terdahulu, pada pelancaran syiling emas peringatan edisi terhad itu, Pengarah Bukan Eksekutif Tomei, Puan Sri Nonadiah Abdullah, berkata syarikat memperkenalkan 300 set syiling emas kuning tulen peringatan edisi terhad sempena sambutan ulang tahun ke-50 WWF-Malaysia.

Beliau berkata, setiap set syiling emas peringatan itu mengandungi empat keping syiling emas kuning tulen 999.9 seberat 25 gram setiap satu, dengan harga runcit setiap set yang membabitkan berat keseluruhan 100 gram dijual pada harga tetap RM29,888.

“Tomei akan menyumbang dua peratus daripada harga jualan, iaitu RM597.76 bagi setiap item yang dijual, sebagai dana sokongan kepada usaha pemuliharaan WWF-Malaysia.

“Minimum komitmen sumbangan adalah RM50,000, namun sumbangan akan berjumlah lebih RM100,000 apabila 300 set itu habis dijual,” katanya.

Pada pelancaran syiling emas peringatan itu, Tomei turut melancarkan ‘Tomei Cares for You’, program Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) Tomei yang memberi tumpuan kepada pelaksanaan tanggungjawab masyarakat dan alam sekitar korporatnya.

Program itu telah diperkenalkan pada 2021 dengan pelbagai kempen kesedaran secara dalam talian untuk memupuk keprihatinan mengenai penjagaan kesihatan dan hubungan kekeluargaan ke arah masyarakat penyayang semasa pandemik.

Apa pandangan anda dengan artikel ini? Komen di bawah: