G7 setuju haramkan eksport emas dari Russia
ELMAU CASTLE: Kuasa dunia hari ini, bersetuju untuk mengharamkan eksport emas dari Russia dalam tindakan bersepadu baharu untuk memutuskan sumber kewangan Moscow.
Keputusan itu dicapai oleh pemimpin negara G7 yang bertemu di selatan Jerman untuk ‘mengunci’ sokongan baharu terhadap Ukraine.
Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden dan rakan sejawatnya dari negara paling maju di dunia, berkumpul di sini, dekat Banjaran Bavarian sebelum mereka terus ke Madrid untuk mengadakan perbincangan dengan rakan yang menganggotai Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO).
Mereka akan berusaha untuk merapatkan barisan bagi memberi sokongan terhadap Ukraine yang ketika ini sedang menentang pencerobohan Russia, disamping bergelut dengan kejatuhan global akibat peperangan.
Daripada inflasi yang melambung tinggi sehingga krisis makanan yang menjulang termasuk kekurangan tenaga, pencerobohan Russia ke atas Ukraine yang masuk bulan kelima membelenggu dunia menerusi beberapa siri krisis.
Tidak ketinggalan, dalam kalangan pemimpin juga akan berhadapan dengan ancaman kemelesetan serta tekanan terhadap perubahan iklim.
Serentak mempamerkan keazaman mereka untuk meningkatkan tekanan ke atas Moscow, negara G7 mengumumkan pihaknya akan mengharamkan pengimportan simpan emas dari Russia.
Dikatakan AS adalah negara eksport kedua terbesar untuk Russia dan sumber pendapatan signifikan buat Presiden Vladimir Putin serta sekutunya.
Menurut Rumah Putih, Russia menyumbang kira-kira lima peratus merangkumi semua eksport emas pada 2020 dan 90 peratus keluaran Russia pergi ke negara G7, kebanyakannya ke Britain.
Sekutu Barat dilihat ‘berebut-rebut’ menyelaraskan tindak balas masing-masing sejak Russia mengerahkan ramai tenteranya ke Ukraine pada 24 Februari lalu.
Walaupun ekonomi Russia ‘diserang’ dengan pelbagai sekatan yang tidak pernah berlaku sebelum ini, negara itu masih tetap utuh dengan keputusan dan tindakan dengan tidak ‘menarik diri’ daripada perang.
Menjelang rundingan itu, Perdana Menteri Britain, Boris Johnson menggesa sekutu supaya tidak goyah memberikan sokongan mereka.
“Ukraine boleh menang dan ia akan menang. Tetapi mereka memerlukan sokongan kita untuk berbuat demikian. Sekarang bukan masanya untuk berputus asa terhadap Ukraine,” katanya. – AFP