Nyaris maut kereta dipijak gajah
JOHOR BAHRU: Seorang pemandu melalui detik mencemaskan apabila kereta Toyota Avanza yang dipandunya dipijak sekumpulan gajah dalam kejadian di Batu 8, Jalan Mawai, Kota Tinggi, dekat sini, malam tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 10.20 malam itu, mangsa Mohd Khairol Abdul Karim, 33, dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Kampung Padang, Tanjung Sedili, selepas melawat anak bongsu yang dirawat di Hospital Sultan Ismail (HSI) di sini, sejak empat hari lalu.
Isterinya, Shasha Nurul Huda Abd Razak, 32, berkata terkejut apabila diberitahu mengenai kejadian itu oleh adiknya kira-kira jam 11 malam.
“Suami datang ke HSI dan melawat anak kami, Nur Husna, sembilan bulan yang terpaksa tinggal di wad kanak-kanak sejak empat hari lalu kerana masalah usus.
“Bagaimanapun, apabila tiba di tempat kejadian yang juga menuruni bukit, suami berkata dapat melihat kaki gajah dan memperlahankan kenderaan tetapi terlanggar sebahagian kaki haiwan itu,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Menurutnya, suaminya tidak boleh berhenti mengejut kerana bimbang dilanggar kereta dari arah belakang menyebabkannya hanya memperlahankan kenderaan.
Katanya, selepas terlanggar kaki seekor daripada kira-kira empat gajah dewasa itu, mangsa meneruskan perjalanan namun terkejut apabila sekumpulan gajah tiba-tiba menyerang keretanya.
“Suami terkejut dan syukurlah sempat melarikan diri dengan keluar daripada kereta dan bersembunyi di tepi jalan dan hanya mampu melihat dari jauh kenderaan dipijak kumpulan gajah berkenaan.
“Tidak lama kemudian, gajah berkenaan beredar ke ladang kelapa sawit meninggalkan kereta, manakala suami cedera ringan akibat serpihan kaca.
“Suami mendapatkan rawatan di Hospital Kota Tinggi sebagai pesakit luar dan dibenarkan pulang kira-kira jam 5 pagi tadi,” katanya.
Shasha berkata, suami hanya cedera ringan di mata, kepala, bahu dan tangan akibat serpihan kaca dan mereka sekeluarga bersyukur nyawa suaminya selamat.
Katanya, suaminya membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Tinggi.
Sejak kejadian, katanya, mereka hanya berhubung melalui telefon dan meminta suaminya berehat secukupnya sebelum melawat anak dan dirinya di HSI.
Mohd Khairol tidak didapati dihubungi dan dikatakan masih trauma dengan kejadian itu.
Sumber: Berita Harian