Sifir Untuk JDT Menjadi Juara Liga Super Selepas Perlawanan Ke-17
Pada malam ini dan esok akan berlangsungnya perlawanan ke-17 Liga Super 2018. JDT akan berkunjung ke Stadium Hang Jebat untuk bertemu dengan Melaka United. Pada masa ini JDT berada dikedudukan teratas liga dengan mengumpul 41 mata.
JDT mengatasi pasukan ditempat kedua dengan perbezaan 13 mata. Secara matematik, JDT boleh menjadi juara Liga Super malam ini jika keempat-empat situasi dibawah berlaku.
1- JDT menang
Dengan kemenangan menentang Melaka United malam ini, JDT akan mengumpul 44 mata dengan berbaki 5 perlawanan.
2- Perak kalah
Perak akan melayan kunjungan Kelantan pada malam ini. Sekiranya pasukan pelawat mampu melakukan kejutan, pungutan mata Perak akan kekal menjadi 28 mata selepas perlawanan ke-17. Perak boleh mengumpul sebanyak 15 mata lagi dari baki perlawanan.
Makanya, andai Perak kalah malam ini dan mampu mengutip mata penuh pada baki perlawanan, Perak akan berjaya mengumpul sebanyak 43 mata.
3- Pahang seri atau kalah
Pahang akan melayan kunjungan Selangor malam ini dan mengumpul 27 mata setakat ini. Andai Pahang seri malam ini, Pahang boleh mendapat 28 mata selepas perlawanan ke-17. Mata yang sama dikumpul oleh pasukan Perak, maka pengiraan yang sama akan dilakukan. Mata yang boleh dikumpul oleh Pahang adalah 43 mata.
4- Kedah seri atau kalah
Kedah pula akan melayan kunjungan PKNS FC malam ini dan ketika ini Kedah mempunyai jumlah yang sama seperti Pahang. Jadinya, pengiraan mata yang sama seperti Pahang akan dilakukan. Mata yang boleh dikumpul oleh Kedah pada penghujung musim adalah 43 mata.
Kesimpulan
Sekiranya JDT menang malam ini, manakala Perak kalah dan Pahang serta Kedah seri, JDT akan mempunyai mata yang lebih dari kesemua pasukan. Dengan ini, JDT boleh disahkan menjadi juara Liga Super 2018 pada malam ini. Namun begitu, adakah empat situasi diatas akan berlaku pada malam ini?