Syamer Kutty Abba Janji Aksi Terbaik Dalam Kejohanan AFC B23
Peranan selaku perancang tengah sudah pasti menjadi tumpuan dalam setiap perlawanan, apatah lagi dalam kejohanan bertaraf seperti Kejuaraan Bawah 23 tahun (B-23) Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) 2018.
Namun, pemain tengah skuad B-23, Syamer Kutty Abba tidak mahu perhatian yang bakal diterima itu nanti memakan dirinya sendiri dengan dia bertekad untuk memberikan persembahan terbaik pada pentas terbesar kejohanan benua Asia itu.
[AdSense-B]“Bahagian tengah boleh dianggap sebagai jantung pasukan dan persembahan pemain tengah sudah pasti memberi kesan kepada keseluruhan persembahan pasukan, malah memainkan watak penting ketika mengatur serangan dan bertahan.
“Tetapi, saya tidak mahu menjadikan situasi ini sebagai tekanan kepada saya. Saya hanya mahu menikmati perlawanan dan memberikan yang terbaik untuk negara,” katanya.
Meskipun lebih kerap beraksi bersama skuad B-23, namun kemampuan pemain berusia 20 tahun itu nyata menarik minat bekas pengendali skuad kebangsaan, Nelo Vingada apabila dia pernah diberi kepercayaan membarisi kesebelasan utama skuad senior dalam beberapa perlawanan.
Ketenangan dan keberanian memegang bola untuk menjana hantaran dilihat menjadi aset utama pemain kelahiran Georgetown itu sekali gus menyaksikan dia dijangka tidak berdepan masalah membarisi senarai akhir 23 pemain ke kejohanan terbabit.
[AdSense-B]Pada masa sama, pemain tengah Johor Darul Ta’zim (JDT) itu menyifatkan peluang untuk beraksi bersama kelab Portugal sebagai motivasi terbaik untuk memperagakan aksi cemerlang di peringkat antarabangsa.
“Beraksi di luar negara sememangnya menjadi impian saya sejak kecil, jadi sudah pasti ini membuatkan saya bekerja lebih keras demi memajukan diri sendiri,” katanya.
Sumber: Berita Harian
Baca juga: Morais Berpuas Hati Dengan Komitmen Pasukan