Hukum Perkahwinan Masih Kekal Atau Perlu Cerai

Terbongkar Suamiku ‘Selera Sama Jantina’, Hukum Perkahwinan Masih Kekal Atau Perlu Cerai?

Seringkali dalam zaman serba moden ini kita terdengar bahawa terdapat pelbagai faktor yang menjadi punca kepada penceraian rumah tangga. Salah satu punca yang mengejutkan orang ramai apabila si isteri mengetahui bahawa dia mempunyai suami gay!

Sedar atau tidak, ramai dalam kalangan kita sebenarnya masih tidak mengenali karakter sebenar si suami, tambah pula dengan pengaruh percintaan kaum sejenis yang semakin berleluasa kini. Sebagai isteri, apa yang anda perlu lakukan apabila terbongkarnya rahsia ini?

RAHSIA SUAMI GAY TERBONGKAR, HUKUMNYA KEKAL ATAU CERAI?

Berdasarkan penjelasan menerusi Mufti Wilayah Persekutuan, dalam hal ini, isteri wajib memberi nasihat kepada suami agar kembali bertaubat dan berazam tidak akan melakukan perbuatan songsang tersebut. Namun sekiranya perbuatan itu masih dilakukan oleh suami, isteri diberi hak menuntut fasakh melalui peruntukan Undang-Undang Keluarga Islam di dalam Seksyen 52 (h) (ii) iaitu menyebut:

“Perintah untuk membubarkan perkahwinan atau fasakh. (h) bahawa suami atau isteri menganiayai isteri atau suaminya, mengikut mana-mana yang berkenaan, iaitu, antara lain—(ii) berkawan dengan perempuan atau lelaki yang berperangai jahat atau hidup berperangai keji mengikut pandangan Hukum Syarak.”

Berdasarkan perbahasan di atas, keadaan suami seperti melakukan perbuatan yang tidak bermoral, berkelakuan songsang, dan seumpamanya merupakan dosa-dosa besar yang dilarang keras oleh hukum syarak. Suami hendaklah segera bertaubat daripada dosa yang dilakukannya itu dan kembali beramal soleh, nescaya Allah SWT akan menggantikan dosanya dengan amal kebaikan, sebagaimana firman Allah SWT:

إِلَّا مَن تَابَ وَءَامَنَ وَعَمِلَ عَمَلٗا صَٰلِحٗا فَأُوْلَٰٓئِكَ يُبَدِّلُ ٱللَّهُ سَيِّ‍َٔاتِهِمۡ حَسَنَٰتٖۗ وَكَانَ ٱللَّهُ غَفُورٗا رَّحِيمٗا

Maksudnya: “Kecuali orang yang bertaubat dan beriman serta mengerjakan amal yang baik, maka orang-orang itu, Allah akan menggantikan (pada tempat) kejahatan mereka dengan kebaikan; dan adalah Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.”- Surah al-Furqan

Namun, jika perbuatan terkutuk tersebut masih berlarutan, status perkahwinan itu adalah tidak sekufu dari sudut kesolehan dan ketakwaan pasangan.

Seorang yang fasiq dan suka melakukan perbuatan maksiat tidak sekufu dengan seorang yang mengikut syariat yang benar dan sentiasa melakukan amal-amal soleh. Tindakan undang-undang hendaklah diambil seperti membuat tuntutan fasakh mengikut peruntukan perundangan yang telah termaktub dengan merujuk kepada pengamal undang-undang syariah.

*Mahukah kita jadi macam kaum Nabi Luth yang mengamalkan gaya hidup songsang lalu dimusnahkan dalam satu bencana yang dahsyat?

Sumber: Mufti WP

Apa pandangan anda dengan artikel ini? Komen di bawah: