Safiq Rahim Mahu Kejayaan

Safiq Rahim Belum Puas Cipta Kejayaan

Kapten Johor Darul Ta’zim (JDT), Safiq Rahim, mengakui dirinya masih dahagakan kejayaan walaupun sudah melengkapkan semua koleksi kejuaraan domestik menerusi kejayaan memenangi Piala Malaysia 2017.

Safiq sebelum ini dua kali kempunan untuk merasai nikmat kejuaraan piala berprestij itu selepas kecewa bersama Selangor dalam aksi final 2008 dan bersama JDT, tiga tahun lalu.

Sabtu lepas, dia berjaya menebus kekecewaannya itu apabila membantu JDT menamatkan penantian 26 tahun membawa pulang trofi itu ke Johor.

“Ini adalah Piala Malaysia yang pertama buat diri saya. Mungkin inilah impian semua pemain dan ini impian saya. Mencipta sejarah untuk JDT dan juga diri sendiri,” kata Safiq.

JDT juara piala malaysia 2017 2

Apa yang menarik, Safiq yang juga kapten skuad kebangsaan muncul sebagai penjaring terbanyak bagi pemain tempatan menerusi sembilan gol musim ini, namun pencapaian cemerlang itu masih belum memberikan kepuasan dalam diri pemain berusia 30 tahun itu.

“Saya sudah meraih semua kejuaraan domestik tetapi saya masih dahagakan kejayaan untuk kelab dan juga secara individu. Saya tidak boleh berhenti di sini dan perlu terus meningkatkan prestasi,” tambahnya.

Sumber: Stadium Astro

Baca juga: Wira-wira JDT Disambut Meriah Di Dataran Bandaraya


Apa pandangan anda dengan artikel ini? Komen di bawah: