Hukum Ambil Wuduk Dalam Tandas

Dah Terbiasa Selalu Ambil Wuduk Dalam Tandas, Sebenarnya Boleh Atau Tidak?

Perkara biasa yang ramai orang buat adalah ambil wuduk dalam tandas namun pernah tak anda terfikir mengenai hukum melakukan perkara itu?

Seperti mana kita tahu, tandas merupakan tempat syaitan dan menyebut kalimah Allah di dalam tandas adalah satu perkara yang perlu dijauhkan.

HUKUM AMBIL WUDUK DALAM TANDAS, INI JAWAPANNYA

Di bawah ini penulis kongsikan sebuah hadis mengenai perbuatan mandi junuh Rasulullah SAW:

كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم إِذَا اغْتَسَلَ مِنَ الْجَنَابَةِ غَسَلَ يَدَيْهِ، وَتَوَضَّأَ وُضُوءَهُ لِلصَّلاَةِ ثُمَّ اغْتَسَلَ، ثُمَّ يُخَلِّلُ بِيَدِهِ شَعَرَهُ، حَتَّى إِذَا ظَنَّ أَنْ قَدْ أَرْوَى بَشَرَتَهُ، أَفَاضَ عَلَيْهِ الْمَاءَ ثَلاَثَ مَرَّاتٍ، ثُمَّ غَسَلَ سَائِرَ جَسَدِهِ‏.‏ وَقَالَتْ كُنْتُ أَغْتَسِلُ أَنَا وَرَسُولُ اللَّهِ، صلى الله عليه وسلم مِنْ إِنَاءٍ وَاحِدٍ

Maksudnya: “Rasulullah S.A.W apabila mandi junub baginda akan membasuh kedua tangannya (pergelangan tangan), berwuduk sebagaimana wuduk untuk solat, kemudian baginda mandi. Seterusnya baginda memasukkan jari-jari (menyela) ke rambut baginda, sehinggalah baginda merasakan bahawa kulit kepala baginda basah, baginda mencurahkan air ke atasnya sebanyak tiga kali. Kemudian baginda membasuh keseluruhan badan baginda. Kata A’isyah lagi: Aku dahulu mandi bersama Rasulullah S.A.W dari bekas air yang sama.” Riwayat al-Bukhari (272)

Imam Ibn Hajar al-Asqalani Rahimahullah apabila mensyarahkan hadis beliau berkata: Padanya (hadis ini) istihbab (disunatkan) untuk menyempurnakan wuduk sebelum mandi junub.

Berdasarkan hadis di atas juga, jelas menunjukkan bahawa perlakuan wuduk tersebut berlaku di dalam bilik mandi kerana Nabi SAW sedang mandi junub. Hal ini tidak lain tidak bukan menunjukkan kepada keharusan berwuduk dalam bilik air.

Menurut pandangan Al-Syeikh Dr. Wahbah al-Zuhaili Rahimahullah pula, beliau lebih cenderung kepada cadangan untuk memisahkan tempat wuduk dan juga bilik air (tempat buang air kecil dan besar).

Kesimpulannya adalah berwuduk di dalam tandas adalah dibolehkan namun perlu sentiasa berhati-hati kerana takut terkena percikan najis yang ada di dalam tandas.

Sumber: Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan

Apa pandangan anda dengan artikel ini? Komen di bawah: