Hukum Meniup Makanan Dan Minuman Yang Panas

Hukum Meniup Makanan Dan Minuman Yang Panas

Soalan:

Apakah hukum meniup makanan dan minuman panas? Bagaimana pula dengan bernafas dalam gelas sewaktu minum air?

Jawapan:

Alhamdulillah pertama sekali bersyukur kita kehadrat Allah S.W.T dengan nikmat Iman dan Islam, selawat dan salam ke atas junjungan Nabi Muhammad S.A.W serta keluarga Baginda, para Sahabat Baginda R.A dan kaum Muslimin dan Muslimat yang dirahmati Allah S.W.T.

Telah tsabit daripada hadith bahawa Rasulullah SAW melarang daripada bernafas dalam bekas minuman. Sabda Baginda SAW yang diriwayatkan oleh Abi Qatadah RA:

إِذَا شَرِبَ أَحَدُكُمْ فَلاَ يَتَنَفَّسْ فِي الإِنَاءِ، وَإِذَا أَتَى الخَلاَءَ فَلاَ يَمَسَّ ذَكَرَهُ بِيَمِينِهِ

Maksudnya: Apabila kalian minum, janganlah bernafas di dalam gelas, dan ketika buang hajat, janganlah menyentuh kemaluan dengan tangan kanan.

Sahih Bukhari (153)

Diriwayatkan juga bahawa:

أنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ نَهَى أَنْ يُتَنَفَّسَ فِي الإِنَاءِ أَوْ يُنْفَخَ فِيهِ

Maksudnya: Sesungguhnya Nabi SAW melarang bernafas di dalam gelas atau meniup isi gelas.

Musnad Ahmad (1907) dan Tirmizi (1888)

Para ulama berbeza pandangan dalam menafsirkan maksud hadith ini. Kami nukilkan di bawah sebahagian pandangan-pandangan tersebut:

  • Imam Al-Nawawi menyatakan bahawa larangan bernafas di dalam gelas ketika minum adalah termasuk di bawah adab. Ini kerana dibimbangi ia akan mengotorkan air atau ada sesuatu yang jatuh dari mulut atau dari hidung, atau selainnya. (Rujuk Al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, 3/160)
  • Imam Ibn Hajar al-‘Asqalani ketika mensyarahkan hadith ini menyatakan bahawa meniup-niup minuman adalah lebih buruk berbanding sekadar bernafas di dalam gelas. Larangan ini berbentuk ta’addub (mengajar adab) yang menunjukkan penekanan terhadap kebersihan. (Rujuk Fath al-Bari 1/253 dan 10/92)
  • Imam al-Syaukani sewaktu mensyarahkan hadith ini berkata: jangan meniup ke dalam bekas air minuman dan makanan untuk menghilangkan kotoran, kerana tiupan akan mengeluarkan air liur yang dianggap kotor. Jangan juga ditiup untuk menyejukkan makanan yang panas, dan hendaklah dia bersabar hingga ia sejuk. Jangan makan makanan sewaktu ia panas, kerana keberkatan hilang daripadanya, dan benda yang panas merupakan makanan dan minuman ahli neraka. (Rujuk Nail al-Authar 9/65)
  • Ibn Batthal sewaktu menjelaskan hadith ini pula menyatakan bahawa jika seseorang itu minum bersama orang yang tidak merasa jijik akan perbuatan bernafas sewaktu minum, maka hukumnya adalah harus. Oleh kerana itu Baginda sendiri bernafas di dalam bekas minuman kerana Baginda SAW tahu para sahabat Baginda suka untuk minum dari bekas air Baginda. (Rujuk Syarh Sahih al-Bukhari li Ibn Batthal 6/80)
    Selain itu, terdapat juga daripada Anas bin Malik RA:

كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم يَتَنَفَّسُ فِي الشَّرَابِ ثَلاَثًا وَيَقُولُ‏”‏ إِنَّهُ أَرْوَى وَأَبْرَأُ وَأَمْرَأُ ‏”‏‏.‏ قَالَ أَنَسٌ فَأَنَا أَتَنَفَّسُ فِي الشَّرَابِ ثَلاَثًا

Maksudnya: Rasulullah SAW minum sebanyak tiga kali tegukan dengan tiga kali nafas, dan bersabda: Cara ini lebih menghilangka dahaga, lebih sihat dan lebih berkhasiat. Anas berkata: “Maka aku pun minum dengan tiga kali teguk dengan tiga kali nafas ketika minum”.

Sahih Muslim (2038)

Maka dapat difahami bahawa ketika minum, Nabi SAW mengelakkan daripada bernafas dalam gelas, kerana terdapat beberapa faedah daripadanya.

Penjelasan Hukum

Dari sudut hukum pula, larangan meniup dan bernafas dalam bekas makanan dan minuman ini membawa kepada hukum makruh, dan bukannya haram sebagaimana yang disebut oleh Imam al-Syarwani, Imam Zakariyya al-Ansari dan Imam Ibn Muflih al-Hanbali. (Rujuk Hasyiah al-Syarqawi wa al’-Ubbadi 7/438, Asna al-Mathalib 3/228 dan Al-Adab al-Syar’iyyah 3/296)

Imam al-Mardawi al-Hanbali menukilkan pandangan Imam al-Amidi yang tidak memakruhkan meniup makanan panas, dan inilah pandangan yang benar menurut Al-Mardawi, sekiranya ada keperluan untuk segera memakannya. (Rujuk Al-Insaf fi Ma’rifah al-Rajih min al-Khilaf 8/242)

Tuntasnya, setelah meneliti pentafsiran dan penerangan para ulama di atas, kami berpandangan bahawa hukum asal menghembus atau bernafas di dalam bekas makanan dan minuman adalah harus. Hal ini kerana larangan yang disebut dalam hadith diikat dengan sebab-sebab tertentu, iaitu:

  • dibimbangi air liur dan bau nafas mengubah dan mengotori makanan / minuman
  • jika berkongsi bekas, ia boleh menimbulkan rasa tidak senang orang yang berkongsi bekas dengannya
  • Menampakkan sikap tidak sabar dan gelojoh dengan meniup makanan atau minuman panas supaya sejuk.

Hanya dalam keadaan di atas sahaja hukumnya akan menjadi makruh. Kami melihat sebab-sebab tersebut boleh dielak dan tidak terpakai dalam semua keadaan. Tiupan yang sederhana tidaklah sampai mengotorkan atau mengubah bau makanan dan minuman. Imam Ibn Batthal juga menjelaskan bahawa jika seseorang itu minum bersama orang yang tidak merasa jijik akan perbuatan bernafas sewaktu minum, maka hukumnya adalah harus. Imam al-Mardawi juga menjelaskan seseorang itu boleh meniup makanan atau minuman panas jika ada keperluan.

Wallahu a’lam.

Sumber: https://www.muftiwp.gov.my/artikel/al-kafi-li-al-fatawi/3119-al-kafi-1106-hukum-meniup-makanan-dan-minuman-panas

Apa pandangan anda dengan artikel ini? Komen di bawah: