Koleksi Tudung Isteri Tak Boleh Disedekahkan Bila Meninggal

Koleksi Tudung Isteri Tak Boleh Disedekahkan Bila Meninggal, Dikira Sebagai Harta Pusaka- UAI

Urusan mengenai faraid harta pusaka tidak boleh diambil ringan oleh umat Islam apabila ada ahli keluarga meninggal. Walaupun urusan ini nampak remeh dan mengambil masa yang lama untuk selesai, ia perlu dilakukan dengan rapi supaya urusan si mati selesai di dunia.

Ini juga termasuk dalam beberapa soalan yang diajukan kepada Ustaz Azhar Idrus mengenai pakaian dalam simpanan apabila isteri meninggal dunia. Adakah pakaian dan tudung arwah isteri boleh disedekahkan dengan begitu sahaja?

“KOLEKSI TUDUNG ARWAH ISTERI JADI FARAID HARTA PUSAKA, TAK BOLEH DISEDEKAHKAN”

Menurut lelaki berkenaan, isterinya memiliki kira-kira 164 helai tudung dalam simpanan. Selepas membuat pengiraan tersebut, timbul pertanyaan di mindanya tentang apa yang harus dilakukan dengan koleksi tudung tersebut apabila isterinya meninggal dunia.

“Adakah tudung-tudung tersebut boleh disedekahkan kerana kedua-dua anaknya adalah lelaki? Ataupun tudung perlu dibahagikan berdasarkan sistem faraid?,” tanya lelaki itu.

Ustaz Azhar Idrus kemudian menjelaskan bahawa harta koleksi tudung isteri tidak boleh disedekahkan kerana ia automatik menjadi harta pusaka.

“Jawapannya tidak boleh. Kerana setiap benda yang bermanfaat akan menjadi harta pusaka,” katanya.

Pendakwah popular itu menjelaskan bahawa persepsi sebahagian masyarakat terhadap harta pusaka selalunya hanya terikat kepada beberapa barangan seperti duit, emas, tanah dan rumah. Namun sebenarnya segala-galanya adalah harta pusaka selagi boleh diambil guna atau memberi bermanfaat.

Beliau kemudian turut memberikan beberapa contoh ringkas berkenaan harta pusaka yang boleh difahami dengan mudah. Antara contih yang diberikan adalah:

“Selipar sebelah, tidak menjadi harta pusaka. Kalau dua belah, menjadi harta pusaka. Walaupun selipar murah, (misalnya) RM5 sahaja, (tetapi) boleh dipakai dan diambil manfaat oleh orang lain, itu harta pusaka. Sudu satu? Harta pusaka, wajib faraid”, katanya lagi.

Namun begitu, beliau berkata sekiranya waris bersetuju untuk disedekahkan, barulah perkara itu dibolehkan. Perkara ini jangan dibuat main terutamanya para suami perlu peka dengan hal sebegini.

“Apabila mati, semuanya balik menjadi milik Allah…sebab itu waris tidak boleh buat suka-suka. Bila (harta) jadi hak waris? Selepas melalui dua perkara. Pertama, bayar hutang agama dan kedua bayar hutang manusia. Baki baru menjadi milik waris,” katanya lagi.

Sumber: TheReporter, Ustaz Azhar Idrus

Apa pandangan anda dengan artikel ini? Komen di bawah: