Longhi Kesal Tiada Penyerang Berkualiti
Pengendali Johor Darul Ta’zim (JDT), Raul Longhi pasrah selepas skuad bimbingannya gagal ke separuh akhir Piala AFC zon ASEAN biarpun menang 3-2 ke atas Song Lam Nghe An pada aksi terakhir Kumpulan H, malam tadi.
Apa yang dirumuskan Longhi lebih terarah kepada ketiadaan penyerang yang mampu meledakkan jaringan walaupun sepanjang saingan Piala AFC pemain JDT sudah memberikan yang terbaik.
Beliau menegaskan masalah itu timbul sejak dua bulan lalu tanpa tenaga import mengemudi jentera serangan nyata menjejaskan barisan serangan untuk bersaing dalam Piala AFC dan hanya bergantung kepada kudrat penyerang tempatan.
[AdSense-B]“Kami tiada penyerang yang mampu menjaringkan gol. Walaupun tewas kepada Pahang 0-3 baru-baru ini tapi ia tidak menjejaskan kesungguhan pemain yang diturunkan untuk bangkit dan melakar kemenangan 3-2 ke atas Song Lam Nghe An.
“Saya bangga dengan penyerang tempatan terutama Jack (Hazwan Bakri), Safawi (Rasid) dan Syafiq (Ahmad) walaupun mereka muda tapi menunjukkan peningkatan dan memberi impak positif dalam pasukan.
“Ya, kami terkeluar daripada saingan Piala AFC tapi itu bukan penamat segalanya kerana objektif utama adalah kejuaraan Liga Super dan kami akan membuat persiapan rapi berdepan Kelantan, Sabtu ini,” katanya.
Mengulas mengenai corak permainan skuad bimbingannya menentang kelab dari Vietnam itu, beliau menegaskan betapa 40 minit babak pertama pemain JDT beraksi konsisten dan mengawal bola hingga pemain lawan gagal menyekat namun kelekaan dalam lima minit terakhir memberi ruang skuad kendalian Nguyen Duc Thang mengambil kesempatan untuk menjaringkan dua gol.
Katanya, seharusnya pasukan lawan tidak mampu untuk menjaringkan dua gol dalam tempoh singkat jika pemain JDT terutama benteng pertahanan beraksi dengan tenang dan mengawal permainan ketika selesa mendahului 2-0 sebaliknya mereka memilih jalan sukar hingga terpaksa bangkit untuk mencipta kemenangan.
[AdSense-B]Menurutnya, senario itu tidak boleh berulang dan perlu segera diperbaiki kerana jika pemain hilang fokus sudah tentu memberi ruang selesa buat lawan mengambil kesempatan.
“Benteng pertahanan JDT kena peka dan tidak boleh lagi berada dalam zon selesa dan mereka harus sedar pasukan lawan akan sentiasa mengintai peluang untuk menjaringkan gol jadi kami harus memperkemaskan lagi posisi itu.”
Sumber: Berita Harian
Baca juga: Gagal Bantu Vilaverdense, Syamer Tetap Positif