Segovia Tekad Robek Gawang JDT
Sentuhan penjaring terbanyak Liga Super, Rufino Segovia bakal menjadi taruhan Selangor apabila mereka berdepan cabaran getir menentang Johor Darul Ta’zim (JDT) di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Sabtu ini.
Segovia sudah meledak tujuh gol dalam sembilan perlawanan liga dan berada di prestasi terbaik untuk menggempur kubu JDT yang kini gah di puncak liga.
“Kami tewas (0-2) pada perlawanan pertama di Larkin sebelum ini walaupun beraksi dengan baik. Tapi saya fikir kami memiliki peluang lebih baik untuk menang kali ini.
[AdSense-B]“Prestasi kami di tahap terbaik, kami juga akan mendapat sokongan penyokong sendiri, jadi kami akan gunakan dengan baik peluang ini. Berdasarkan rehat yang ada selepas perlawanan dengan PKNP minggu lalu, saya percaya semua pemain sudah bersedia.
“Sebagai penyerang, sudah pasti saya mahu menjaringkan gol dalam setiap perlawanan. Tapi bertemu JDT, kami perlu berusaha keras dan saya juga perlu membantu bahagian pertahanan,” kata Segovia.
Skuad Red Giants kendalian Muhammad Nazliazmi Mohamad Nasir kini berada di tangga kesembilan liga selepas hanya mengumpul 10 mata, hanya dua mata dipisahkan dengan pasukan di zon penyingkiran, Kelantan.
Pada aksi terakhir Ahad lalu, Segovia, 33, yang berasal dari Sepanyol berjaya menyumbat satu gol namun jaringan itu berjaya dipadamkan oleh pemain PKNP FC, Hafiz Ramdan pada saat akhir.
[AdSense-B]Aksi menentang JDT kali ini mungkin lebih sukar buat Selangor dengan kelab Harimau Selatan itu sudah membawa masuk pemain baharu iaitu penyerang Harry Novillo dan pertahanan Kiko Insa untuk memperkuatkan pasukan pada jendela perpindahan pemain kedua bulan ini.
“Saya hanya fokus kepada pasukan sendiri, bukan JDT. Saya yakin dengan kemampuan rakan sepasukan, kami tak perlu bimbang kerana mereka akan bermain dengan 11 pemain seperti kami juga,” kata Segovia.
Sumber: Berita Harian
Baca juga: Syamer Dan Dominic Kembali Bersama JDT, Kemasukan Kiko Disahkan